Johor cadang halang zakat kepada asnaf merokok

zakat_islam_60021

PETALING JAYA: Penerima zakat dan golongan asnaf yang didapati merokok dan enggan berhenti menghisapnya berdepan risiko dihentikan bantuan bulanan.

Sinar Harian memetik Kadi Mersing, Mohd Zaini Mohd Salleh sebagai berkata golongan tersebut perlu bebas daripada perbuatan merokok yang haram di sisi agama.

“Apabila turun padang, saya selalu dengar Datuk Noh Gadut bercakap dengan penerima zakat, golongan asnaf ini jika mereka tetap merokok, bantuan bulanan dihentikan.

“Memang kita seboleh mungkin minta mereka yang sudah biasa merokok, tambah lagi imam, bilal, usahalah agar boleh meninggalkan rokok,” katanya.

Kenyataan beliau itu bagi mengulas gesaan penasihat Majlis Agama Johor (MAINJ) itu semalam yang mengingatkan pegawai masjid di negeri itu terutama imam, bilal dan noja berhenti merokok atau bersedia melepaskan jawatan masing-masing.

“Semua pegawai masjid mesti ada disiplin. Kalau tak sanggup (berhenti merokok), maka kita minta dia lepaskan jawatan. Apatah lagi jawatan ini bergaji, kita beri elaun. Jadi, tidak wajar berlaku,” kata Noh dipetik akhbar tersebut.

Menurut Zaini, Noh meminta pihaknya memantau golongan asnaf agar menahan bantuan jika didapati mereka merokok.

“MAINJ sebagai badan bertanggungjawab mengagihkan zakat maka kita perlu berpesan-pesan kepada penerima zakat.”