Kerajaan tiada rancangan perkenal program asimilasi untuk Rohingya

shahidan-rohingnhya

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk memperkenalkan program untuk asimilasi pelarian Rohingya, kata seorang menteri Umno.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pada masa ini pelarian Rohingya diberi kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Jika kita memperkenalkan program asimilasi, ini bermakna kita mempunyai niat untuk beri kewarganegaraan.

“Jika kita ‘buka pintu’, saya yakin orang lain juga mahu datang ke sini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), yang bertanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan program asimilasi, seperti yang dijalankan di Jerman, untuk membantu pelarian memahami kebudayaan dan amalan tempatan.

Beliau juga berkata ia akan membantu menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan mereka.

Shahidan menjawab program sedemikian hanya akan menawarkan hati pelarian Rohingya untuk pergi ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.

Beliau berkata Rohingya kini menerima diskaun 50% untuk rawatan perubatan berbanding dengan yang lain.

“Mereka juga mempunyai akses kepada pendidikan swasta yang dikendalikan NGO atau UNHCR.”

Sejak 1 Mac, Rohingya dibenarkan bekerja di sektor perladangan dan perkilangan bagi tempoh 3 tahun, tambahnya.

Shahidan juga mendedahkan terdapat 16,809 kanak-kanak pelarian etnik Rohingya yang memiliki kad UNHCR di negara ini.