Laporan audit: SPRM akan tubuh jawatankuasa khas siasat rasuah

Dzulkifli-Ahmad_audit_negara_600

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melihat keperluan menubuhkan pasukan khas untuk melihat isu rasuah dalam laporan audit jabatan kerajaan yang dikeluarkan semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengesahkan terdapat isu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang boleh dilihat dengan lebih teliti untuk diambil tindakan lanjut.

“Pegawai saya sedang meneliti laporan tersebut secara dekat. Kita telah mengenalpasti beberapa isu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini.

“Saya janji kita akan ambil tindakan sewajarnya.”

Dzulkifli berkata pasukan khas itu akan menyiasat sama ada rasuah terlibat dalam isu yang dibangkitkan dalam laporan terhadap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta agensi berkaitan kerajaan.

Antara isu dalam laporan terbaharu itu ialah 2 isu yang dilaporkan hari ini melibatkan percanggahan dalam prosedur dan pembayaran mengenai entiti korporat di bawah Kementerian Perumahan Sarawak dan pembelian sebuah hotel oleh agensi kerajaan Melaka.

Di Sarawak, ketua audit negara mendapati Perbadanan Kemajuan Perumahan Sarawak (HDC) membayar RM2.88 juta kepada 2 kontraktor untuk mengecat semula 12 unit perumahan awam, tetapi kerja itu tidak pernah dijalankan.

Ketua audit negara menambah HDC tidak mematuhi peruntukan Akta Prosedur Kewangan dan peraturan pemerolehan lain untuk satu projek naiktaraf di Sibu, apabila pembayaran didahulukan tanpa kebenaran yang diperlukan.

Di Melaka, keputusan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) untuk membeli balik sebuah hotel yang dijual 13 tahun lalu membawa kepada kerugian mencecah RM4.57 juta.

Menurut laporan itu, PKNM terpaksa membeli semula Hotel MITC di Ayer Keroh selepas syarikat yang membeli hotel itu gagal membuat pembayaran kepada kerajaan negeri dan terus menanggung hutang selama 11 tahun.

Pembelian hotel itu dilakukan dengan pinjaman bank RM25.70 juta untuk membiayai pembelian (RM17 juta), pengubahsuaian (RM7.56 juta) dan GST (RM1.14 juta).

“Jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM50.70 juta termasuk RM25 juta bayaran faedah,” kata laporan itu.

Tidak disahkan sama ada 2 isu itu antara isu yang akan diteliti pasukan khas SPRM.

Hutang kerajaan pusat naik RM18 bilion, menurut audit terkini

Keputusan Melaka beli balik hotel bawa kerugian RM4.6 juta

Di Sarawak, hampir RM3 juta untuk kontrak mengecat yang tak dijalankan