Penerima bantuan JKM perlu kemas kini permohonan setiap tahun

Nancy-ShukriKUALA LUMPUR: Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengemaskini permohonan bantuan setiap tahun untuk kajian semula penerima bantuan yang layak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata semakan semula status penerima bantuan perlu dilakukan agar JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat menentukan sama ada bantuan itu masih layak diberikan dan mengurangkan ketirisan bantuan daripada kerajaan.

“Memang menjadi hasrat kita tidak mahu menyusahkan mereka (golongan sasar) dan membantu mereka namun kita juga perlu patuh pada peraturan tertentu. Kemungkinan akan berlaku kes di mana penerima bantuan yang meninggal dunia tidak dilaporkan dan bantuan kewangan dilakukan berterusan.

“Perkara ini banyak berlaku dan akhirnya pewaris terpaksa membayar semula kepada kementerian. Ini yang kita perlu elakkan,” katanya.

Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat mengenai bagaimana cara kerajaan meneruskan bantuan tanpa menyukarkan golongan itu untuk membuat pendaftaran setiap tahun.

Nancy berkata daripada jumlah 483,637 kes penerima bantuan, seramai 40,990 kes iaitu 8.47% dihentikan bantuan sama ada penerima bantuan masih hidup, telah meninggal dunia atau berpindah keluar daerah.

Bagaimanapun, katanya, kementerian menerusi JKM berusaha membantu penerima bantuan agar berdikari melalui penglibatan aktif dalam bidang keusahawanan melalui pendekatan kebajikan produktif dengan pemberian Bantuan Geran Pelancaran (BGP) pada kadar RM2,700.

“Dari 2010 hingga 2016, seramai 5,757 orang menerima manfaat BGP dengan implikasi kewangan sebanyak RM19.94 juta.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 3,451 orang mampu menjana pendapatan melebihi RM300 sebulan daripada pendapatan sedia ada, manakala sehingga Mei tahun ini, seramai 349 penerima JKM menerima BGP dengan perbelanjaan sebanyak RM446,300,” jelasnya.