Pengerusi Pakatan Harapan masih ada dalam buku teks, kata menteri

Mahdzir-Khalid-buku-teks-mahathir-sejarahKUALA LUMPUR: Jasa dan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun masih dikekalkan dalam buku teks di semua sekolah kerajaan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sumbangan diberikan Dr Mahathir pada masa beliau mentadbir negara merupakan suatu fakta dan masih relevan.

“Penulisan buku teks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah berdasarkan dokumen kurikulum dan fakta sebenar yang berlaku pada masa atau tempoh berkenaan.

“Fakta berkenaan masih relevan dan dikekalkan dalam buku teks KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Segambut (DAP) Lim Lip Eng sama ada kerajaan persekutuan masih menggelar Dr Mahathir sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.