Protes luar Parlimen desak Zahid mohon maaf pada Dr M

ppbm12321

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 20 ahli PPBM hari ini mengadakan protes di luar bangunan Parlimen mengutuk tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan maklumat kad pengenalan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Kumpulan mewakili Pemuda PPBM Selangor dan Wilayah Persekutuan itu mendakwa kenyataan Zahid yang mengungkit asal usul India bekas perdana menteri itu, sebagai pembohongan dan satu bentuk perkauman.

Mereka membawa sepanduk Zahid, antaranya tertulis “Kaki pembohong”, “pemfitnah”, “rasis”, “tolak Umno” dan “Zahid terdesak jatuhkan Najib Umno bergolak”.

Ahad lalu, Zahid mengundang kontroversi selepas berkata nama sebenar Dr Mahathir seperti dalam kad pengenalan yang dibekalkan kepadanya oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Iskandar merupakan datuk kepada Dr Mahathir, yang kini mempengerusikan PH.

Protes hari ini membuat 5 tuntutan termasuk mendesak Zahid dan ketua pengarah JPN membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir.

“Zahid harus minta maaf kepada rakyat Malaysia dan Dr Mahathir kerana telah menghina asal usul keluarga Dr Mahathir serta menyebarkan maklumat palsu berkenaan dengan susur galur keturunan Dr Mahathir.

“Zahid tergamak menuduh Dr Mahathir menggunakan orang Melayu untuk kepentingan peribadi,” kata Ketua PPBM Wilayah Persekutuan, Zahin Zainal.

Mereka turut mempersoalkan integriti penjawat awam mendedahkan butiran dokumen peribadi Dr Mahathir, dan mendesak sebuah badan khas ditubuhkan menyiasat perkara itu.

Zahin berkata Zahid perlu menyertai forum anjuran Pemuda PPBM, “Nothing To Hide 2.0” pada 13 Ogos, di mana beliau berpeluang mendedahkan bukti butiran peribadi Dr Mahathir secara terbuka.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/30/zahid-mahathir-al-iskandarkutty-gunakan-orang-melayu-umno/