Syarikat tuntut gantirugi daripada peneroka ladang getah

gatcoKUALA LUMPUR: Thamarai Holdings yang terlibat dalam kes undang-undang dengan peneroka tanah ladang getah Gatco di Negeri Sembilan berkenaan tanah mereka di Bahau, kini mahu mendapatkan ganti rugi daripada mereka atas dakwaan merosakkan tanah dan menghalang syarikat itu daripada menjalankan aktiviti di sana.

Peguam R Kengadharan, yang mewakili 140 peneroka dalam tuntutan tanah yang dipertikaikan itu, berkata Mahkamah Tinggi menetapkan 7 dan 8 September untuk mendengar sebutan berhubung penilaian ganti rugi.

“Thamarai menuntut ganti rugi daripada peneroka, atas dakwaan mereka tidak dapat menjalankan aktiviti di atas tanah itu kerana mereka dihalang memasuki kawasan berkenaan,” katanya.

Kengadharan berkata mahkamah mengarahkan Thamarai dan peneroka untuk memfailkan kenyataan saksi mereka pada 1 September.

Peneroka mula mengambil tindakan undang-undang pada 2013 dengan menyaman 2 penyelesai – K Jayapalasingam dan Yong Yoon Shing serta Thamarai Holdings, berhubung isu tanah itu.

Pada 1977, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC) memajak tanah itu kepada Gatco.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang memiliki Gatco, kemudian menukar tanah itu kepada skim tanah untuk ahlinya, di mana mereka masing-masing membayar RM7,600 sebagai deposit sebelum bekerja di tanah itu.

Skim itu bagaimanapun gagal dan Gatco terpaksa membuat pinjaman daripada 2 syarikat kewangan.

Gatco diisytiharkan muflis pada 1996 dan Thamarai membeli tanah itu pada 2006, selepas menjalani proses penyelesaian, tindakan yang kemudian dicabar peneroka.

Percubaan mereka ditolak Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan ketika menyemak semula keputusan itu pada 2014, mengarahkan tuntutan mahkamah itu dibicarakan semula. Keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Thamarai.

Mahkamah Tinggi pada Oktober 2016 dalam keputusannya memihak kepada penduduk Gatco dalam 8 soalan perundangan yang dikemukakan. Manakala 2 soalan perundangan memihak kepada penyelesai dan syarikat itu.

November lepas, peneroka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atas 2 soalan yang memihak kepada penyelesai dan syarikat itu.

Kengadharan berkata rayuan peneroka akan didengar pada 15 September di Mahkamah Rayuan.

Bulan lepas, 28 peneroka ditangkap polis kerana cuba menghalang Thamarai daripada menebang pokok getah di kampung mereka.

Mereka membuat sekatan yang menghalang syarikat itu daripada memasuki kampung mereka.

28 peneroka kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 20 Julai selepas mereka meneliti semula perintah Majistret untuk mereman mereka selama 3 hari, dari 19 Julai.

Pada 24 Julai, 30 peneroka lain ditangkap oleh polis untuk kerana menghalang beberapa lori Thamarai daripada mengangkut kayu getah dari kampung itu.

Mereka kemudian dibebaskan pada hari yang sama.

 

Mahkamah tolak reman, 28 peneroka Gatco bebas