3 beranak ditahan disyaki dera 2 anak angkat

DSP-Loo-Lian-Lay

SELAMA: Seorang wanita dan 2 anaknya ditahan pada Isnin lepas kerana dipercayai mendera 2 anak angkatnya berumur 5 dan 6 tahun, kata Ketua Polis Daerah Selama, DSP Loo Lian Lay.

Beliau berkata, wanita berumur 44 tahun itu serta anak lelakinya berumur 15 tahun dan anak perempuan 16 tahun ditahan selepas seorang jururawat yang membuat pemeriksaan terhadap 2 kanak-kanak perempuan itu di sebuah tadika di Sungai Bayor membuat laporan polis pada 4 petang, 31 Julai lalu.

“Pengadu mendapati terdapat kesan kecederaan lama di bahagian tangan mangsa pertama berumur 5 tahun dan kesan parut di bahagian belakang mangsa ke-2 berumur 6 tahun yang disyaki dirotan.

“Kedua-dua mangsa merupakan anak angkat kepada wanita berkenaan dan mengikut percakapan awal kedua-dua mangsa telah diambil sebagai anak angkat sejak Mei 2015 melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tujuan wanita itu mengambil anak angkat adalah bagi mendapatkan bantuan kewangan sebanyak RM250 bagi seorang anak angkat.