Bauksit: SPRM tahan 10 petugas pejabat tanah, pegawai Kastam

Bauksit_lori1

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 9 kakitangan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Pahang serta seorang pegawai kanan Jabatan Kastam yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perlombongan bauksit haram.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pegawai kanan kastam berusia 56 tahun itu yang ditahan di Kuantan, pada jam 12.15 tengah malam tadi, direman 7 hari bermula hari ini.

Manakala 9 lagi kakitangan PTG Pahang yang berusia 29 hingga 59 tahun pula ditahan di sekitar Kuantan kira-kira 3.30 hingga 3.45 petang tadi.

SPRM turut menyerbu PTG Pahang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Pelabuhan Kuantan untuk merampas beberapa dokumen berkaitan.

Bauksit_lori12Sebanyak 18 lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong haram di sekitar Bukit Goh dan Bukit Sagu turut disita tengah malam tadi.

Operasi itu dilancarkan selepas SPRM mendapati aktiviti perlombongan haram masih berlaku, walaupun tempoh moratorium dilanjutkan.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya berkata, pihaknya memantau kegiatan sindiket berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

“Selepas mengumpul maklumat hasil risikan pegawai, kami melancarkan operasi sejak malam semalam,” katanya.