Bekas menteri ‘tak ingat’ Kabinet bincang pembelian Scorpene

kabinet_kapal-selam_600_new

PETALING JAYA: Beberapa bekas menteri di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad “tidak ingat” pembelian 2 kapal selam Scorpene dari Perancis pada 2002 pernah dibincangkan Kabinet diketuai perdana menteri selama 22 tahun itu.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau tidak ingat pembelian kapal selam itu kerana 2002 sudah terlalu lama.

“Saya tidak ingat, 2002 terlalu lama. Jika Dr Mahathir cakap macam itu, maksud saya beliau ialah pengerusi ketika itu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir hari ini yang beliau hanya tahu Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membeli 2 kapal selam Scorpene dari Perancis, selepas beliau meletak jawatan.

Dalam wawancara bersama portal The Malaysian Insight, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya tidak pernah mahu membeli kapal selam kerana kita tidak boleh menggunakannya. Kita tidak boleh menggunakan kapal selam di Selat Melaka.

“Dan kita tidak ada wang (ketika itu). Kosnya tinggi.

“Tiba-tiba, selepas saya meletak jawatan, saya dapat tahu menteri pertahanan menempah 2 kapal selam,” kata Dr Mahathir yang bersara dari kerajaan pada 2003.

Bekas menteri luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, beliau tidak ingat langsung mengenai pembelian kapal selam Scorpene pernah dibincangkan Kabinet.

“Saya tak ingat langsung ada perkara itu dibincangkan atau tidak. Kerana biasanya sebelum mana-mana pembelian, mana-mana tender…tidak dibincangkan dalam Kabinet.

“Selalunya keputusan dari lembaga tender…Kementerian Kewangan,” katanya.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Rais Yatim juga tidak ingat sebarang perbincangan menarik dalam Kabinet ketika itu.

“Tidak ada perbincangan yang saya boleh ingat akan menjadi minat kepada sesiapa,” katanya.

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting yang dihubungi FMT bagaimanapun enggan mengulas perkara itu kerana “tidak bijak” untuk beliau bercakap mengenai perkara yang tidak diingatinya.

“Saya tak rasa saya mahu komen perkara yang saya tak ingat.”

Bekas menteri kerja raya, Datuk Seri S Samy Vellu juga enggan mengulas pembelian 2 kapal selam Scorpene dari Perancis kerana tidak berada dalam dunia politik lagi.

Pembelian 2 kapal selam Scorpene dan sebuah lagi kapal selam Agosta menjadi kontroversi sejak beberapa tahun lalu selepas dikaitkan dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang rapat dengan Najib yang merupakan menteri pertahanan di bawah Kabinet Dr Mahathir.

Semalam, AFP melaporkan Razak didakwa di Perancis, 2 minggu lalu, kerana bersubahat “secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat” berhubung penjualan 2 kapal selam itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/02/saya-tak-tahu-mengenai-pembelian-scorpene-dakwa-dr-mahathir/