DAP lapor SPRM tambahan RM18 juta bina bangunan baru hospital

santiago-macc

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kos tambahan sebanyak RM18 juta dalam pembinaan bangunan baru di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

The Sun baru-baru ini memetik Laporan Ketua Audit Negara 2016 sebagai berkata, kegagalan perunding menjalankan peranan mereka secara berkesan menyebabkan kontraktor memohon 36 pesanan berubah-ubah dan 5 kerja mengukur semula membabitkan kos tambahan RM17.24 juta.

Tambahan, kelemahan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perunding turut menyaksikan lanjutan tempoh selama 333 hari terpaksa diberikan sehingga menyebabkan kelewatan dan kos tambahan RM1.05 juta.

Laporan audit menamakan 5 syarikat perunding, JKR dan Kementerian Kesihatan sebagai pihak yang terbabit dalam projek itu.

Santiago berkata, dalam laporannya, beliau menggesa Putrajaya menyiasat mereka yang terbabit dalam projek itu, termasuk syarikat perundingan dan juga pegawai JKR dan Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan perlu menyenarai hitamkan syarikat perunding itu daripada membida atau menyertai semua projek kerajaan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun.

“Lebih penting ialah RM18 juta ini perlu dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan kerana kementerian itu kehabisan wang untuk membeli ubat-ubatan.”

Dalam cadangan laporan audit itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, sebarang kerugian akibat ketidakpatuhan perlu ditanggung pegawai atau perunding yang gagal menyelia dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Beliau turut mencadangkan tindakan diambil terhadap pegawai yang gagal memantau dan menyelia kerja perunding mengikut peraturan.

Santiago menekankan kesan perancangan lemah itu juga memberi kesan kepada masyarakat tempatan dan ini tidak dipertimbangkan dalam laporan audit.

Wakil rakyat DAP itu berkata, bangunan baru terbabit terletak berhampiran Taman Petaling di Klang dan perancangan lemah memburukkan masalah banjir di kawasan berkenaan.

“Sekarang, Majlis Perbandaran Klang perlu mengeluarkan wang untuk menyelesaikannya dengan membina kolam takungan dan ini tidak dipertimbangkan.

“Kos tidak langsung ini tidak ditanggung kerajaan, tetapi oleh pihak berkuasa tempatan dan rakyat.”

Sebelum ini, The Star melaporkan penduduk Klang di beberapa kawasan berhampiran hospital itu berdepan masalah banjir sejak 14 tahun lalu dan ia dipercayai berpunca daripada sistem saliran yang tidak diselenggara serta pembinaan bangunan menghalang aliran air dalam longkang.