Johari: 1MDB tidak jumpa kami, akan bayar sendiri IPIC

1mdb-ipic-johariPUTRAJAYA: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan menguruskan pembayaran kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, pembayaran itu, yang dijadualkan pada 31 Julai, 2017, diuruskan di peringkat lembaga pengarah 1MDB.

“Biarlah mereka selesaikan masalah ini, ia adalah soal syarikat. Jika mereka kata mereka akan mampu membayarnya, biarlah kita tunggu mereka bayar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikanMesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018 di sini, hari ini.

Mengenai sama ada dana awam akan digunakan sekiranya 1MDB mahu mendapatkan bantuan kerajaan, beliau berkata, pihak 1MDB tidak berjumpa dengan menteri kewangan.

“Anda tidak akan membantu mana-mana pihak jika mereka tidak bertemu dengan anda. Ini sewajarnya tidak menjadi isu ketika ini kerana ia diiuruskan oleh peringkat lembaga pengarah,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, 1MDB berkata, ia memaklumkan secara bertulis kepada syarikat Abu Dhabi, IPIC, mengenai pembayaran yang dijadualkan pada 31 Julai, 2017 yang sebaliknya akan dibuat pada Ogos 2017 kerana masih menunggu dana sewajarnya.

1MDB berkata semua bayaran kepada pihak IPIC itu akan menggunakan hasil yang dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB.

Laporan sebelum ini menyatakan 1MDB diberi tambahan 5 hari bekerja untuk menyelesaikan pembayaran itu, yang merupakan sebahagian penyelesaian membabitkan pertikaian hutang, berjumlah AS$603 juta (kira-kira RM2.58 bilion).