KDN: Hanya 291 daripada 150,000 pelarian UNHCR berdaftar dengan Malaysia

Nur-JazlanKUALA LUMPUR: Hanya 291 pelarian dan pencari suaka Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendaftar melalui Tracking Refugees Information System (TRIS), kata timbalan menteri dalam negeri.

Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jumlah itu amat rendah berbanding 150,000 pelarian yang ada di negara ini kerana tiada kerjasama UNHCR.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri memberi 6 bulan kepada UNHCR menghantar pelarian dan pencari suaka belum mendaftar di bawah TRIS, berbuat demikian.

“Kalau tidak, KDN akan terus pergi kepada pelarian tersebut. Kita tahu mereka di mana…Lembah Klang, selatan Cameron Highlands dan barat Pahang, di situ mereka berada,” katanya selepas melawat Pusat Pendaftaran Pelarian (TRIS Centre) hari ini.

Program pendaftaran itu dimulakan KDN 1 April lalu bertujuan mendaftarkan semua pemegang kad UNHCR dalam sistem biometrik dan data negara.

Nur Jazlan berkata, program itu untuk memudahkan kerajaan mendapatkan data biometrik pelarian secara sukarela, selain laporan pemerdagangan manusia yang dikeluarkan Amerika Syarikat.

“Banyak tuduhan yang mendakwa pihak berkuasa ambil kesempatan ke atas pelarian kerana status mereka tidak disahkan kerajaan, maka berlaku peras ugut, rasuah dan sebagainya.

“Kita nak pastikan kepentingan pelarian dijaga. Bila mereka ada kad yang diambil data biometrik yang dikeluarkan KDN, maka pihak berkuasa tempatan hormati kad ini.

“Tidaklah timbul isu penganiayaan kepada pelarian ini sebab mereka ada kad yang disahkan,” katanya.

Sebelum ini, KDN menggesa UNHCR berkongsi pangkalan data pelarian dan pencari suaka bagi membendung kemasukan militan IS ke Malaysia.

Nur Jazlan berkata, pihak berkuasa bimbang wujud militan IS dalam kalangan 150,000 pelarian dan pencari suaka UNHCR.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/31/kdn-minta-data-unhcr-bendung-kemasukan-militan-is/