PH: Gagal tepati janji bayar IPIC bukti 1MDB seleweng

PH-ipic-1mdb

PETALING JAYA: Gabungan 4 parti Pakatan Harapan (PH) hari ini berkata kegagalan 1MDB membuat bayaran balik kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) membuktikan penyelewengan berlaku dalam syarikat itu.

Katanya pengakuan 1MDB yang ia masih menunggu dana yang sepatutnya diterima melalui pelaburannya bulan lalu mengesahkan kesangsian antarabangsa yang pelaburan itu “sama ada tidak wujud atau merupakan satu kepalsuan”.

“Jika benar ada pihak yang sedang diatur untuk ‘membeli’ ‘unit’ tersebut daripada 1MDB, bank yang terlibat untuk menyalurkan pembayaran akan membuat siasatan ke atas transaksi ini supaya tidak terperangkap dalam skim pengubahan wang haram.

“Oleh kerana kesemua bank seluruh dunia telah diberi amaran supaya berwas-was dengan segala transaksi yang melibatkan 1MDB, terutamanya pelaburan ‘unit’ palsunya, 1MDB terpaksa memberi alasan bahawa ‘kelulusan kawal selia tambahan’ diperlukan,” kata kenyataan ditandatangani 4 ketua penerangan dari PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

1MDB mencapai persetujuan pada April lalu untuk membayar hutang IPIC, yang kini bergabung dengan Mubadala, sebanyak AS$1.2 bilion dalam 2 ansuran.

Firma bermasalah itu berkata pembayaran dilakukan melalui unit pelaburannya.

Bagaimanapun, selepas tamat tarikh akhir pada 12.00 tengah hari semalam, 1MDB berkata ia susulan kelewatan menerima dana hasil daripada pelaburannya.

Ia juga berkata penangguhan itu kerana masih menunggu kelulusan kawal selia tambahan.

“Memandangkan dana ini akan digunakan bagi tujuan pembayaran kepada IPIC, 1MDB telah mengemukakan makluman bertulis kepada IPIC mengenai komitmen kami untuk memenuhi obligasi yang pada asalnya dijadualkan pada 31 Julai, 2017 kepada Ogos, 2017,” kata 1MDB.

PH berkata kenyataan 1MDB itu mengesahkan 1MDB gagal menebus pelaburan unitnya sejak hujung 2014 hingga hari ini walaupun pihak pengurusan utama 1MDB berkali-kali berjanji pelaburan tersebut akan ditebus.

Tambahnya, perkara itu “tidak memeranjatkan kerana pelabur Malaysia dan antarabangsa sudah lama mengesyaki pelaburan tersebut tidak wujud”.

PH merujuk saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada 15 Jun mendedahkan secara terperinci pelaburan tersebut yang diuruskan oleh syarikat pelaburan di Cayman Islands adalah palsu.

“Ia bertujuan untuk menyembunyikan penyelewengan wang oleh 1MDB yang sepatutnya dilaburkan dengan IPIC.

“Apatah lagi Bank BSI di Singapura yang menjadi bank pemegang amanah pelaburan tersebut ditarik lesen perbankannya oleh pihak berkuasa Singapura kerana didakwa memudahkan pengubahan wang haram yang berpunca daripada 1MDB.

“Apa yang jelas sekarang adalah pengesahan DOJ telah menjejaskan segala percubaan dan tindakan 1MDB dan Kementerian Kewangan untuk menutup penipuan dan penyelewengan pelaburan 1MDB,” kata gabungan itu.

Tarikh akhir berlalu tanpa bayaran 1MDB kepada IPIC, kata sumber

1MDB, IPIC setuju dengan penyelesaian timbang tara