RapidKL guna ‘Annabelle’ ajar penumpang beradab

Annabelle_mrt_60021

PETALING JAYA: Pengendali RapidKL menggunakan patung Annabelle dalam filem seram bagi mendidik pengguna menjaga harta benda awam, selepas laporan vandalisme yang berlaku dalam Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) sejak ia dilancarkan 17 Julai lalu.

Gambar Annabelle ditempatkan dalam gerabak dan stesen MRT yang tersebar di Facebook ialah usaha terbaru RapidKL untuk meningkatkan kesedaran sivik di kalangan orang ramai.

Sebuah daripada gambar itu menunjukkan patung berkenaan menaiki MRT, manakala satu lagi gambar menunjukkan ia duduk di pintu masuk MRT.

Ia disertakan keterangan: “Pelanggan yang dihormati, baru-baru ini kami terima kunjungan mengejut dari Annabelle. Jaga kelakuan anda ketika menaiki kereta api kami atau….ia akan menghantui anda SELAMANYA.”

Di bawah gambar itu mempunyai #annabelleisnear, #citizenwithmannerswanted dan #forabetterfuture.

Catatan RapidKL itu dikongsi lebih 9,800 kali dan mendapat lebih 25,000 maklum balas.

Pengguna Facebook, Thahirah Jamaludin berkata: “Mereka yang mengendalikan platform sosial media rapidKL patut mendapat kenaikan gaji.”

Stacey Wong pula berkata: “Admin bpleh saya beri anda ribuan like? hahahah anda menggembirakan saya!!!”

Bagaimanapun, Ariena Ariff berkata: “Rapid KL, ini tidak kelakar! Sesetengah orang seperti saya takut kepada patung!”

Menurut laporan New Straits Times, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran etika di kalangan orang ramai.

“Kami berharap etika sosial orang ramai akan diperbaiki, bukan sahaja ketika menggunakan pengangkutan awam, tetapi juga apabila menggunakan kemudahan awam,” kata seorang jurucakap RapidKL kepada akhbar itu.

Kurang 10 hari selepas laluan Sungai Buloh-Kajang dirasmikan pada 17 Julai lalu, laporan vandalisme mula muncul.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah dilaporkan berkata, kos membaiki dan pembersihan sahaja menelan belanja RM10,000.