Razak Baginda kesal media ‘keliru’ sistem Perancis

Abdul-Razak-Baginda_kapal-selam_600new

PETALING JAYA: Sistem perundangan Perancis yang sedikit berbeza daripada Malaysia menjadi tumpuan selepas laporan Abdul Razak Baginda didakwa dengan rasuah dalam pembelian kapal selam 15 tahun lalu.

Razak, yang namanya kerap dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak ketika menerajui Kementerian Pertahanan pada masa pembelian itu, didakwa di Perancis 2 minggu lalu kerana bersubahat “secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat”, berhubung penjualan 2 kapal selam Scorpene kepada Malaysia pada 2002.

Dalam kenyataannya lewat malam tadi, Razak berkata media keliru dengan proses keadilan Perancis, dan berkata beliau bukan didakwa sebagaimana istilah itu digunakan dalam sistem kehakiman Malaysia.

“Istilah ‘didakwa’ (indicted) dalam konteks siasatan bermakna meletakkan seseorang di bawah siasatan rasmi. Proses perundangan Perancis berbeza daripada proses perundangan Malaysia.

“Dalam proses perundangan Malaysia, seseorang yang menjadi suspek jenayah disiasat dan sekiranya ada bukti mencukupi, dia didakwa di mahkamah,” kata Razak dalam kenyataan kepada FMT.

Razak bertegas beliau masih belum dihadapkan di mana-mana mahkamah.

“Amat kesal laporan berita tidak tepat dan fakta yang sebenar tidak dilaporkan,” katanya, merujuk 2 laporan AFP yang turut disiarkan media lain sebelum ini.

Pada masa pembelian Scorpene, Razak merupakan penganalisis politik yang rapat dengan Najib.

Laporan AFP semalam berkata Najib sebagai menteri pertahanan menyelia perjanjian bernilai hampir €1 billion (RM5.06 bilion) untuk membeli 2 kapal selam kelas Scorpene dan sebuah kapal selam kelas Agosta daripada DCNI, syarikat pembinaan kapal di mana kerajaan Perancis mempunyai kepentingan.

Pada 2006, Razak dan 2 lagi ditangkap dan didakwa atas tuduhan membunuh kekasihnya Altantuya Shaariibuu. Laporan AFP sebelum ini mengaitkan Altantuya dengan peranannya sebagai penterjemah dalam pembelian 2 kapal selam Scorpene.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Razak tidak bersalah dan membebaskannya. Dua lagi tertuduh, pegawai polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung.

Sebelum ini, 4 individu yang terlibat penjualan Scorpene kepada Malaysia berdepan siasatan atas tuduhan “menyalah guna aset awam”.

Mereka ialah Philippe Japiot, bekas pengerusi DCNI, Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales, Dominique Castellan, bekas presiden DCNI, dan Bernard Baiocco, bekas presiden Thales International Asia. Kesemuanya menafikan tuduhan ke atas mereka.

Polis tunggu arahan majistret

Majistret Perancis menjadi faktor penentu sama ada kes membabitkan Razak wajar dibicarakan, menurut sumber yang arif dengan sistem kehakiman negara itu.

Di bawah sistem itu, majistret akan mengarahkan polis untuk menyiasat perkara itu dan sekiranya kes itu wajar dibicarakan, pendakwaan dilakukan, kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.

“Ini secara khusus dan khas untuk Perancis. Walaupun melibatkan seorang warga Malaysia dan aset Malaysia, ia tiada kena mengena dengan Malaysia. Semua di bawah bidang kuasa Perancis,” katanya.

Siasatan ke atas urusjanji itu dilancarkan pada 2010 sebagai respon kepada aduan daripada kumpulan hak asasi Malaysia, Suaram.

Di bawah perjanjian itu, DCNI bersetuju untuk membayar €30 juta (RM151.81 juta) kepada unit Thales di Asia, Thales International Asia (Thint Asia).

Siasatan mendedahkan sebuah syarikat lain, Terasasi, di mana Razak mempunyai kepentingan, menerima bayaran untuk kerja perundingan. Penyiasat Perancis bagaimanapun percaya ia sebenarnya wang sogokan.

Penyiasat Perancis juga sedang melihat dakwaan €114 juta (RM576.86 juta) dibayar kepada syarikat kosong yang berpangkalan di Malaysia, Perimekar, dalam urusjanji itu. Syarikat tersebut ketika itu dikawal isteri Razak.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/01/scorpene-razak-baginda-didakwa-di-perancis/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/19/perancis-dakwa-2-dalam-kes-rasuah-pembelian-scorpene/