Salleh: PH kek aising comel di luar, rapuh di dalam

salleh-keruak_pakatan-harapan_600

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin mampu mencabar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang kerana gagal menunjukkan solidariti dalam kerjasama antara parti komponennya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, berbeza dengan formula perkongsian kuasa dan tolak ansur diamalkan BN, PH gagal menunjukkan solidariti kerana berebut kedudukan sehingga terpaksa mewujudkan 3 jawatan tertinggi sekaligus.

“PH hanya sekadar kek aising yang nampak comel di luar, tetapi rapuh di dalam…ibarat tidur sebantal tetapi mimpi berbeza,” katanya dalam catatan bertajuk “Politik Permuafakatan BN Paling Berjaya” di blognya hari ini.

Beliau merujuk kenyataan seorang ahli sains politik, Prof Arend Lijphart pada persidangan ahli sains politik sedunia pada 1967, sistem politik terbaik untuk mengurus negara majmuk ialah politik permuafakatan, iaitu melibatkan kerjasama parti pelbagai kaum dalam satu pakatan besar.

“Malaysia adalah contoh negara paling berjaya mengamalkan sistem ini. Dalam sejarahnya, Perikatan (dan kemudiannya BN) selalu menang dalam setiap pilihan raya biarpun menghadapi pelbagai isu dan cabaran,” katanya.

Salleh yang juga bendahari Umno berkata, susulan kegagalan PH membentuk solidariti kerjasama antara parti pembangkang, maka cara politik permuafakatan BN adalah yang terbaik untuk negara.

“Ini kerana perkongsian kuasa dan tolak ansur antara kaumnya terbukti paling sesuai untuk memerintah Malaysia yang majmuk masyarakatnya,” katanya.