Saya tak tahu mengenai pembelian Scorpene, dakwa Dr Mahathir

mahathir-scorpene

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjawat perdana menteri ketika Kementerian Pertahanan membeli 2 kapal selam Scorpene dari Perancis 15 tahun lalu, hari ini berkata beliau hanya mendapat tahu pembelian itu selepas meletak jawatan.

Dalam wawancara bersama portal The Malaysian Insight, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata ini kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Saya memang tak nak beli kerana kita tak boleh guna.

“Kapal selam itu kita tak boleh guna di Selat Melaka. Dan kita tidak ada duit, kosnya tinggi.

“Tetapi tiba-tiba setelah saya bersara, saya dapat tahu menteri pertahanan sudah buat pesanan untuk mendapatkan dua buah Scorpene,” kata Dr Mahathir yang bersara dari kerajaan pada 2003.

Datuk Seri Najib Razak merupakan menteri pertahanan ketika itu.

Beliau mengakui keputusan membeli kapal selam itu mungkin diambil ketika pentadbirannya “tetapi saya tidak dimaklumkan mengenainya”.

Dr Mahathir berkata kapal selam tidak berkesan dalam melawan musuh negara.

“Kapal selam bukanlah untuk pertahanan. Ia untuk tujuan serangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pembelian 2 kapal selam Scorpene dan sebuah lagi kapal selam Agosta menjadi kontroversi sejak beberapa tahun selepas ia dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, penganalisis politik yang rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan menteri pertahanan di bawah Kabinet Dr Mahathir.

Semalam, AFP melaporkan Razak didakwa di Perancis 2 minggu lalu kerana bersubahat “secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat”, berhubung penjualan 2 kapal selam itu.

Ia susulan 4 individu lain yang turut didakwa atas tuduhan “menyalah guna aset awam”, iaitu Philippe Japiot, bekas pengerusi DCNI, Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales, Dominique Castellan, bekas presiden DCNI, dan Bernard Baiocco, bekas presiden Thales International Asia. Kesemuanya menafikan tuduhan ke atas mereka.

Keputusan itu bermakna pihak penyiasat kini menunggu arahan rasmi daripada mahkamah Perancis untuk menyiasat Razak sebelum dibicarakan.

Di bawah perjanjian itu, DCNI bersetuju untuk membayar €30 juta (RM151.81 juta) kepada unit Thales di Asia, Thales International Asia.

Siasatan mendedahkan sebuah syarikat lain, Terasasi, di mana Razak mempunyai kepentingan, menerima bayaran untuk kerja perundingan. Penyiasat Perancis bagaimanapun percaya ia sebenarnya wang sogokan.

Penyiasat Perancis juga sedang melihat dakwaan €114 juta (RM576.86 juta) dibayar kepada syarikat kosong yang berpangkalan di Malaysia, Perimekar, dalam urusjanji itu. Syarikat tersebut ketika itu dikawal isteri Razak.