Shahidan: 16 tali barut bantu penjenayah diburu

marawi-militnt

KUALA LUMPUR: Seramai 16 orang kini diburu sebagai tali barut tempatan bekerjasama dengan penjenayah antarabangsa yang boleh mengancam keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, gambar mereka sudah diedarkan supaya tali barut itu dapat ditangkap.

“Gambar mereka sudah diedar ke merata-rata kerana selama ini mereka dipercayai bekerjasama dan menjadi penyampai maklumat kepada penjenayah,” katanya menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) yang meminta penjelasan status tahap keselamatan khususnya di kawasan berhampiran sempadan Filipina ekoran pergolakan di Marawi, Filipina.

Shahidan berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dari semasa ke semasa bagi tujuan keselamatan, susulan pertempuran tentera Filipina dengan kumpulan militan IS di Marawi.

Beliau berkata, pihak keselamatan memandang serius perkembangan pergolakan di sana serta mengambil kira sebarang kemungkinan penduduk dari kawasan itu lari ke negara ini.