DAP: Haram buku G25, kerajaan tak serius tangani ekstremis agama

Farhan-Haziq-Mohamed-g25-bukuPETALING JAYA: DAP berkata tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan kumpulan bekas penjawat kanan Melayu, G25 memberi mesej salah seolah-olah kerajaan tidak serius menangani ancaman ekstremis agama.

Naib Ketua Pemuda DAP Subang, Farhan Haziq Mohamed menyeru KDN menarik balik pengharaman satu siri buku, termasuk buku “Breaking the Silence: Voices of Moderation: Islam in a Consititutional Democracy” diterbitkan G25 yang menyampaikan mesej memerangi ekstremis agama.

“Lebih melucukan, alasan yang digunakan kerajaan adalah buku tersebut memudaratkan ketenteraman awam.

“Alasan umum ini sentiasa digunakan tanpa bukti kukuh, apatah lagi kebanyakan buku yang diharamkan tersebut telah berada di pasaran lebih setahun tanpa sebarang insiden memudaratkan.

“Contohnya, buku ‘From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia’ yang berada di pasaran lebih 12 tahun. Pengharaman tanpa bukti kukuh ini merupakan tindakan melampaui batas perundangan dan wajar dicabar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Farhan menyarankan penerbit buku terbabit mengambil tindakan undang-undang terhadap KDN seperti dilakukan SIS Forum untuk buku “Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism”, kartunis kontroversi Zunar (buku “1 Funny Malaysia & Perak Darul Kartun”) dan ZI Publication (buku Allah, Kebebasan dan Cinta).

Katanya, mahkamah membatalkan pengharaman buku itu kerana tiada alasan kukuh dan munasabah.

Buku “Breaking the Silence – Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” yang diharamkan KDN bulan lalu, turut memuatkan penulisan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai prakata.

Buku yang diterbitkan sebuah penerbit akademik berpangkalan di Singapura itu memuatkan penulisan 22 tokoh dan aktivis, termasuk pakar undang-undang, Dr Shad Saleem Faruqi dan Dr Azmi Sharom, Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar, penulis bebas Farouk Peru, peguam syariah Nizam Bashir, pensyarah pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Singapura, Dr Syed Farid Alatas dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Sheriff Kassim.

Farhan berkata, pengharaman buku mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menimbulkan persoalan mengapa kerajaan takut dengan penerbitan buku itu dan secara tidak langsung membantutkan usaha menterjemahkan hasil karya asing ke dalam bahasa Melayu.

“Semua buku yang diharamkan ini cenderung membincangkan wacana alternatif mengenai Islam yang cukup baik untuk difahami dan dijadikan rujukan.”

Semalam, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dipetik Bernama berkata, 8 penerbitan yang mengandungi kandungan memudaratkan kepentingan dan ketenteraman awam, kemoralan serta menggemparkan fikiran orang ramai diharamkan.

Beliau berkata, 5 daripada penerbitan itu didapati mengandungi fakta mengelirukan dan bertentangan ajaran serta akidah Islam sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Tajuk penerbitan itu adalah Isu Semasa Dalam Risalah: Hukum Barat Pun Islam, Isu Semasa Dalam Risalah: Konsep Kebebasan dan Agama, Menuju Reformasi Perundangan Islam, Zainab Srikandi Cucu Baginda Muhammad SAW dan Imam Mahdi Yang Ditunggu Dan Malapetaka Akhir Zaman.

Katanya, 2 lagi penerbitan mempunyai unsur menghina agama Islam dan negara, manakala “Saucy Seaside Postcards” mengandungi artikel berunsur seks dan gambar lucah keterlaluan yang tidak sesuai dengan norma kehidupan masyarakat Malaysia.

Chandra, Azmi Sharom bidas kerajaan haramkan buku G25