Razak Baginda pertahan nasihat pencari kerja ‘berhijrah’

Abdul-Razak-Baginda-SyerleenaPETALING JAYA: Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang menolak kritikan ahli DAP, Syerleena Abdul Rashid terhadap nasihatnya kepada rakyat mencari peluang di negara lain, berkata Malaysia dibina mereka yang berhijrah ke sini untuk kehidupan lebih baik.

Presiden Pusat Hal Ehwal Sedunia (Icon) itu berkata, Syerleena salah faham dengan apa yang dimaksudkannya, iaitu tiada sesiapa patut menghalang orang lain mencari peluang lebih baik di negara lain.

“Rakyat tidak patut kritikal dengan mereka yang mahu meninggalkan negara mereka.

“Jika nenek moyang kita tidak meninggalkan China, India atau Indonesia, kita tidak akan nampak Malaysia yang kita ada hari ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, datuknya berasal dari China.

Isnin lalu, Syerleena yang merupakan penolong setiausaha publisiti Wanita DAP menepis nasihat Razak kepada pencari kerja untuk berhijrah ke negara lain kerana saranan itu dibuat seorang elit yang terpisah daripada arus perdana masyarakat Malaysia.

Razak memberi saranan itu dalam sebuah forum pada 27 Julai lalu.

Syerleena dilaporkan berkata, nasihat Razak itu menunjukkan beliau tidak tahu kesusahan dihadapi rakyat Malaysia hari ini.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu berkata, Malaysia sudah menghadapi masalah ketandusan modal insan dan tidak wajar menasihatkan rakyat mencari peluang di negara lain.

Tetapi, Razak berkata, rakyat perlu berfikiran terbuka untuk mencari masa depan lebih baik di luar Malaysia.

Tambahan, katanya, jika rakyat Malaysia berjaya menempa nama di luar negara, ia akan memberi gambaran baik kepada negara ini.

“Ia bukan permainan sifar. Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara masih boleh menyumbang kepada masyarakat dalam beberapa cara,” kata Razak, yang namanya kerap dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

DAP: Razak Baginda ialah elit terpisah daripada arus perdana

Sistem pendidikan Malaysia hasilkan generasi ‘kerbau’, kata Razak Baginda