SPRM akan senarai 10 jabatan kerajaan Kelantan berisiko rasuah

sprm-kelantan-penjawat-awam-kakitangan-kerajaanKOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan menyenaraikan 10 jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini yang berisiko terbabit dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa, pada Oktober depan.

Pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, pihaknya juga akan menyenaraikan 5 jabatan dan agensi kerajaan paling bersih daripada kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

“Jabatan dan agensi yang dikenal pasti berisiko terbabit dengan rasuah atau salah guna kuasa akan diminta memperbaiki kelemahan yang ada secepat mungkin,” katanya selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, semalam.

Beliau berkata, SPRM sudah memberi amaran kepada ketua jabatan dan agensi supaya sentiasa membuat penambahbaikan bagi mengelakkan kesalahan tersebut.

“Sekiranya wujud kes rasuah atau salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam, kami akan merujuk kes itu kepada timbalan pendakwa raya untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Bagi 5 jabatan dan agensi terbaik yang bersih daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa pula akan diberi penghargaan oleh SPRM.