IS dalang cubaan mengebom pesawat Etihad Airways, kata polis Australia

polis-AustraliaSYDNEY: Seorang lelaki warga Australia menghantar adiknya ke Lapangan Terbang Sydney untuk menaiki penerbangan Etihad Airways dengan membawa bom buatan sendiri yang diubah suai menyerupai mesin pengisar daging atas arahan komander IS, kata polis hari ini.

Menceritakan salah satu rancangan militan “paling canggih” negara itu, polis berkata 2 lelaki, yang didakwa atas tuduhan berkaitan keganasan, turut merancang membina sebuah peranti yang melepaskan gas beracun di kawasan awam.

Bahan letupan gred tinggi digunakan untuk membina bom yang dihantar melalui kargo udara dari Turki, dalam rancangan yang “diilhamkan dan dirancang” oleh kumpulan militan IS, kata Timbalan Pesuruhjaya (Keselamatan Negara) Polis Persekutuan Australia Michael Phelan.

Rancangan itu menyasarkan penerbangan Etihad Airways pada 15 Julai tetapi bom itu gagal melepasi pihak keselamatan lapangan terbang, katanya.

“Ini salah satu rancangan militan paling canggih yang pernah dicuba di Australia,” kata Phelan.

Polis mendakwa salah seorang dari 2 lelaki yang didakwa semalam itu diperkenalkan kepada IS oleh abangnya, yang menurut mereka ahli kanan IS di Syria.

Perhubungan antara tertuduh dan IS bermula sekitar April, kata polis. Di bawah arahan seorang komander IS yang tidak dikenali, mereka membina sebuah peranti letupan reka ganti (improvised explosive device atau IED) yang berfungsi sepenuhnya.

Salah seorang dari adik-beradik itu tidak sedar dia membawa bom tersebut, yang diubah suai menyerupai sebuah mesin pengisar daging komersial, dalam bagasi, dan cuba mendaftarnya di lapangan terbang, kata polis.

“Kita akan mendakwa lelaki yang membawa IED menaiki kapal terbang tidak sedar membawa akan membawa masuk sebuah IED,” kata Phelan.

Peranti itu akan berfungsi seperti sebuah bom tangan, dan akan meletup dengan kekuatan secukupnya untuk menghasilkan lubang pada pesawat itu, walaupun ia meletup dalam tempat simpanan kargo, kata Prof Greg Barton, seorang pakar keselamatan di Universiti Deakin di Melbourne, Australia.

“Logiknya ialah kamu bungkus letupan itu dan menutupnya, dan jika seseorang melakukan pemeriksaan fizikal secara pantas ia akan kelihatan seperti sebuah pengisar daging, kerana ia bukan barangan elektrik atau elektronik, maka ia tidak akan menimbulkan keraguan.”

Polis berkata ada “sedikit sangkaan” mengenai apa yang berlaku seterusnya, tetapi salah seorang tertuduh kemudian meninggalkan lapangan terbang itu, dengan membawa bagasi tersebut. Abang lelaki itu menaiki pesawat dan tidak pulang ke Australia sejak itu.

“Saya ingin tekankan – ia tidak sempat mendekati pemeriksaan keselamatan. Saya tidak mahu sesiapa mencadangkan yang ia melepasi lapisan keselamatan lapangan terbang,” kata Phelan.

Etihad dalam kenyataan hari ini berkata mereka sedang bekerjasama rapat dengan siasatan pihak berkuasa Australia.


Rancanga bom gas terbongkar

Polis menahan 4 lelaki minggu lalu dalam serbuan serata Sydney, bandar terbesar Australia. Seorang lelaki dibebaskan sementara seorang lagi ditahan tanpa tuduhan di bawah undang-undang anti-pengganas khas.

Dua yang didakwa ialah Khaled Khayat dan Mahmoud Khayat, yang masing-masing berdepan 2 tuduhan merancang tindakan pengganas. Tuduhan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Mereka tidak memohon ikat jamin di pendengaran mahkamah hari ini, kata jurucakap Mahkamah New South Wales, dan ikat jamin secara rasmi ditolak. Mereka dijadualkan tampil di mahkamah pada 14 November nanti.

Polis berkata juga turut membongkar rancangan awal untuk membina satu “peranti penyebaran kimia buatan sendiri” yang direka untuk melepaskan gas hidrogen sulfida. Kimia prekursor dan komponen lain ditemui tetapi tertuduh “belum mampu” menghasilkan peranti yang berfungsi.

Hidrogen sulfida yang berbau seperti telur busuk berbahaya pada ketumpatan tinggi.

Polis berkata perbincangan “awal dan berupa andaian” antara tertuduh dan IS mencadangkan rancangan untuk mengatur kedudukan peranti itu di khalayak, seperti pengangkutan awam.

Sejak polis mendedahkan butiran rancangan itu, pakar keselamatan berkata ia mendedahkan kelemahan dalam pemeriksaan kargo udara, terutamanya di Turki, di mana agensi keselamatan negara itu menjadi lemah sejak operasi pembanterasan yang dilakukan kerajaan Turki selepas cubaan rampasan kuasa tahun lepas.

“IS kini pada suatu kedudukan di Turki di mana ia boleh menghantar letupan gred tentera melalui penerbangan kargo dari Turki,” kata Barton.

“Sekarang mungkin Sydney bukan cubaan sekali sahaja dan mereka akan mencuba di tempat lain dan itulah tahap risiko yang kami tidak fikir sebelum ini.”