Suaram buat aduan isu peneroka Gatco ke PBB

Sevan-Doraisamy-gatco-pbbKUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membuat aduan kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai dakwaan pencabulan hak asasi terhadap peneroka Kampung Gatco, Negeri Sembilan.

Pengarah Eksekutif Sevan Doraisamy berkata aduan dibuat 18 Julai lalu.

Beliau berkata pejabat PBB sudah memberikan maklum balas berhubung aduan tersebut.

“Mereka (pejabat PBB) kata akan ambil kes ini dan ada beberapa soalan,” katanya pada sidang medianya bersama ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Sevan berkata pihaknya membuat aduan tersebut kerana sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

“Kami mengadu di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan polis di Bukit Aman tetapi masalah itu tidak dapat diselesaikan.

“Jadi instrumennya kalau tak boleh bergerak (aduan dalam negara), lebih bagus kita dapatkan instrumen antarabangsa supaya hak mereka (peneroka) dapat dilindungi.

Sebelum ini, seramai 28 peneroka Kampung Gatco ditahan kerana menghalang Thamarai Holdings Sdn Bhd daripada menebang pokok getah yang ditanam kira-kira 40 tahun lalu di tanah seluas 4,700 ekar yang dipertikaikan itu.

Peneroka mula mengambil tindakan undang-undang pada 2013 apabila mereka menyaman Thamarai berhubung isu tanah itu.

Tanah itu dipajak pada 1977 oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC) kepada Gatco.

Tanah itu diubah oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW), yang memiliki syarikat Great Alonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) kepada skim tanah untuk para ahlinya, di mana masing-masing membayar RM7,600 sebagai deposit sebelum bekerja di tanah itu.

Skim itu bagaimanapun gagal dan Gatco terpaksa membuat pinjaman daripada 2 syarikat kewangan.

Gatco diisytiharkan muflis pada 1996 dan pada 2006, Thamarai membeli tanah itu selepas menjalani proses penyelesaian, tindakan yang kemudian dicabar oleh peneroka.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/20/mahkamah-tolak-reman-28-peneroka-gatco-bebas/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/19/penduduk-nekad-pertahan-ladang-getah-walau-berdepan-tangkapan/