Kabinet setuju pinda hukuman mati pengedar dadah

azalina-othman-drug-dealersKUALA LUMPUR: Kabinet sebulat suara bersetuju untuk membenarkan para hakim mengenakan hukuman yang sesuai ke atas pengedar dadah dan bukan hukuman mati melalui satu pindaan kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kementerian dan agensi berwajib akan menyediakan satu memorandum untuk persetujuan jemaah menteri.

Beliau berkata kajian ke atas isu itu dijalankan melalui Pusat Pengajian Hukum dan Perundangan Antarabangsa (I-CeLLS) dan dibentangkan ke jemaah menteri pada 1 Mac.

“Kabinet sebulat suara bersetuju untuk meminda Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Azalina menjawab Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang bertanyakan mengenai perkembangan terkini langkah kerajaan untuk menyemak hukuman mati mandatori. Beliau juga meminta bilangan orang yang dihukum mati sejak 2010.

Azalina berkata Kabinet memutuskan akta itu perlu memberikan hak kepada hakim untuk mementukan hukuman yang lebih sesuai seperti tempoh pemenjaraan.

Dulu katanya para hakim terpaksa menjatuhkan hukuman mati ke atas pengedar dadah kerana tiada hukuman lain diperuntukkan.