Umno usah jadi jaguh kampung bangkit isu tol, kata PKR

Rodziah-Ismail_tol_btu-tiga_600

PETALING JAYA: Umno tidak perlu bersikap hipokrit dengan mengusulkan pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau kerana pembangkang seawal 2012 lagi sudah menggesa kerajaan memansuhkannya, kata wakil rakyat PKR.

Adun Batu Tiga Rodziah Ismail dalam kenyataan hari ini berkata Umno seolah-olah mahu menjadi jaguh kampung dalam isu tol menjelang piliharaya umum akan datang.

“Hentikan sandiwara. Selama ini mereka tidak endah masalah tol yang berpuluh-puluh tahun menghantui rakyat, sedangkan kita mengadakan demonstrasi dan sebagainya untuk memansuhkan sistem tol tersebut.

Hujung minggu lalu, Umno Shah Alam pada mesyuarat perwakilan Umno membentangkan usul agar kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan.

“Rakyat perlu membayar tol setiap kali melalui lebuh raya sama ada dari arah Klang, Shah Alam ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.

“Tidak cukup beban membayar tol, pengguna dihidangkan dengan kesesakan lalu lintas dan berdepan tekanan emosi,” kata Ketua Penerangan Umno Shah Alam Razalee Ahmad.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) langsung tidak mengambil pendekatan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam isu tol termasuk penutupan, pemansuhan dan pengurangan kadar tol.

Katanya, Plus Malaysia Berhad (PLUS) melaporkan perjanjian konsesi asal kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sepatutnya berakhir pada 2018 tetapi dilanjutkan sehingga 2038.

“Ia seperti sengaja dipanjangkan untuk mengutip tol ratusan juta ringgit selama berdekad-dekad yang hanya menguntungkan segelintir manusia dan ‘menghisap darah’ rakyat.

“Ini amat tidak adil kepada rakyat kerana mereka terpaksa membayar tol atas kesilapan kerajaan Umno/BN dalam menandatangani perjanjian konsesi tol yang jelas berat sebelah dengan memberi keuntungan kepada PLUS.

Beliau menambah, kerajaan Umno/BN sepatutnya bertanggungjawab memberi kemudahan terbaik kepada rakyat dan bukannya berterusan menekan mereka dengan tol yang dianggap tidak lagi munasabah.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/07/umno-mansuh-tol-batu-tiga-sungai-rasau-untuk-tangani-beban-rakyat-selangor/