Pemandu Grab direman tumbuk penumpang sehingga patah hidung

grab-punch

PETALING JAYA: Seorang pemandu Grab ditahan polis selepas menumbuk penumpangnya yang berusia 16 tahun sehingga patah tulang hidung.

China Press memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat sebagai berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di Kuala Lumpur pada jam 2.30 pagi Ahad.

Beliau berkata, suspek direman 4 hari sehingga Rabu ini dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Akhbar itu melaporkan kejadian itu berlaku sekitar 5 petang Sabtu lalu, apabila pelajar sekolah menengah persendirian Cina itu menaiki Grab dari sebuah rumah pangsa di Puchong Jaya ke pusat beli-belah Times Square.

Mangsa melalui catatan di Facebooknya berkata, beliau meminta pemandu menggunakan Jalan Klang Lama untuk ke destinasi kerana mahu mengelakkan tol.

Bagaimanapun, pemandu itu mendakwa tidak tahu jalan dan hanya boleh menggunakan aplikasi Waze.

Walaupun mangsa hendak menunjukkan jalan, tetapi lelaki terbabit didakwa enggan berbuat demikian menyebabkan mereka berdua bergaduh.

Pelajar tingkatan 5 itu kemudiannya meminta perkhidmatan itu dihentikan. Pemandu itu berang apabila gadis terbabit menghempas pintu ketika turun dari keretanya dan suspek bertindak mengejar sambil memarahinya sebelum menumbuk mukanya.

Mangsa cedera di bahagian mulut dan tulang hidungnya disahkan patah ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Mohd Rosdi Daud berkata, suspek bekerja sebagai pemandu Grab sepenuh masa selama 2 tahun dan tiada rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku disebabkan salah faham.