Bekas duta ke AS kini pengerusi Mara

Awang-Adek-Hussin-maraPETALING JAYA: Datuk Dr Awang Adek Hussin diumumkan pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tamat memegang jawatan itu sejak 10 Ogos lepas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail berkata Awang Adek yang juga ketua Umno Bachok akan mula bertugas mulai September 2017.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimilikinya mampu memimpin Mara dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian ini demi mencapai objektif Transformasi Negara,” kata Ismail dalam kenyataan.

Januari lalu, Annuar digantung jawatan pengerusi Mara berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak Kelantan. Beliau diarahkan bercuti sejak 7 bulan yang lalu.

Annuar bagaimanapun berkata beliau sama sekali tidak terlibat dengan penajaan 2 anak syarikat Mara dengan pasukan bola sepak Kelantan.

Mara kemudiannya menjalankan siasatan dalam berhubung isu itu dan berjanji akan mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada media.

Awang Adek mempunyai kelulusan ijazah Matematik dan Ekonomi dari Amerika Syarikat, dan menerima doktor falsafah daripada Wharton School di Universiti Pennsylvania.

Pada 2014, beliau dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Washington.

Sebelum itu, beliau pernah menjawat timbalan menteri kewangan di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.