Ancaman pengganas: Polis perketat kawalan menjelang Sukan SEA, merdeka

khalid-abu-bakar-isis-militan-malaysia-sukan-seaKUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan ancaman pengganas menjelang penganjuran Sukan SEA ke-29 bermula 19 Ogos ini dan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, anggota sedia ada yang akan mengawal 2 acara itu mencukupi dan orang ramai, termasuk pelancong dari luar tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka.

“Kita (PDRM) tetap bersiap siaga terhadap sebarang ancaman menjelang Sukan SEA dan Hari Kebangsaan nanti. Tidak ada masalah, orang ramai boleh hadir,” katanya selepas istiadat penganugerahan pingat kedaulatan negara kepada 158 pegawai dan anggota terlibat dalam Op Daulat di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, polis akan mengawal ketat semua pintu masuk Stadium Bukit Jalil menjelang acara perasmian Sabtu ini dan orang ramai dinasihat datang awal untuk mengelak kesesakan serta tidak membawa bahan terlarang ke stadium.

Menjelang kejohanan Sukan SEA Ke-29 ini, seramai 12,000 anggota pelbagai unit, termasuk Komando 69 dan Unit Tindakan Khas (UTK) ditugaskan di semua lokasi pertandingan, termasuk hotel penginapan atlet dari semua negara yang mengambil bahagian.

Temasya Sukan SEA ke-29 bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

Semalam, polis Perak mendedahkan wujudnya ancaman militan IS pada sambutan Hari Kebangsaan negeri itu pada 31 Ogos nanti.

Ketua Polis Negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya memperoleh maklumat mengenai ancaman itu daripada siasatan dan pemerhatian pihak berkuasa.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/15/ketua-polis-negeri-kata-is-rancang-serangan-di-perak/