Anwar tidak keluarkan kenyataan, kata Jabatan Penjara

Supri-Hashim-anwarPETALING JAYA: Jabatan Penjara hari ini mempersoalkan laporan berita 3 hari lalu memetik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meramalkan peningkatan insiden ganas menjelang pilihan raya umum akan datang, dan berkata ia berdasarkan kenyataan palsu.

Berita Harian memetik Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Supri Hashim sebagai berkata kenyataan itu tidak pernah dikeluarkan Anwar pada 14 Ogos, ketika beliau dibawa pegawai penjara ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Anwar dikawal oleh pegawai dan anggota Penjara sepanjang masa ketika berada di mahkamah,” Supri dipetik akhbar itu.

Sebuah kenyataan ringkas Anwar pada Isnin lalu memetik respons ketua umum Pakatan Harapan itu terhadap kekecohan yang berlaku di forum “Nothing to Hide” yang diadakan sehari sebelum itu.

“Pengalaman PRU13 lalu di mana beberapa serangan termasuk membaling batu dan memecah cermin bas yang saya naiki berlaku tanpa sebarang tindakan oleh pihak polis. Maka kami mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap gerombolan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Supri berkata, media tidak dibenarkan berjumpa Anwar sepanjang beliau berada di mahkamah pada hari itu.

“Gambar yang digunakan bagi tujuan penyiaran kenyataan itu juga bukan gambar ketika Anwar berada di mahkamah pada hari Isnin lalu,” katanya.

Menurutnya, banduan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa kebenaran dari Jabatan Penjara.

Anwar sedang menjalani hukuman 5 tahun penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015, selepas disabitkan tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar bimbang kejadian serangan meningkat menjelang PRU14