Ateis Islam disoal polis, jabatan agama, lapor akhbar Australia

polis-atheis

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya seorang Islam, yang dikatakan berpandangan ateistik, disoal siasat polis dan pihak berkuasa agama.

Menurut laporan The Australian, lelaki itu disoal polis untuk tempoh yang lama dan diminta untuk menyerahkan telefon dan akaun Facebook.

Laporan mengenai penyusupan Islamisasi ke dalam masyarakat Malaysia memetik seorang Islam yang berpandangan ateis secara peribadi melaporkan pihak berkuasa memburu orang Islam yang berfikiran ateis.

Lelaki itu, yang diberi nama Zahari bagi melindungi identitinya, merupakan ahli kelab ateis yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Kelab itu terpapar di media tempatan baru-baru ini apabila sekeping gambar yang dimuat naik di Facebook menunjukkan ahli kelab atas talian itu tersenyum di suatu himpunan yang jarang berlaku.

Pada 6 Ogos, kerajaan berkata siasatan akan dilakukan terhadap mana-mana orang Islam yang menyertai Atheist Republic cawangan Kuala Lumpur. Atheist Republic merupakan pertubuhan yang diasaskan di Kanada.

Zahari memberitahu The Australian bahawa pihak berkuasa menumpukan salah seorang ahli kumpulannya dengan harapan dia “akan lemah dan melaporkan maklumat kami”.

Beliau berkata lelaki itu disoal siasat oleh polis dan anggota jabatan hal ehwal agama Islam. Zahari mendakwa jabatan itu mengancam untuk membicarakan lelaki itu di mahkamah syariah atas tuduhan murtad dan akan meyakinkan isteri untuk membatalkan perkahwinan mereka.

“Di sini tidak ada ruang untuk berbincang secara baik apabila ia bersangkut paut dengan agama. Kami bernasib baik mempunyai undang-undang sekular dan ada orang masih mempertahankan undang-undang itu. Tetapi saya tidak pasti berapa lama ia akan bertahan.

“Perkembangan ini sepintas menunjukkan bagaimana masyarakat (Islam) sederhana bertukar konservatif,” kata Zahari.

Zahari berkata beliau berhati-hati tidak diambil gambarnya tempoh hari, tetapi beliau lebih berwaspada sejak kebelakangan ini.

Menurut laporan itu, beberapa orang dalam gambar itu menerima ancaman bunuh dan menyembunyikan diri, bimbang diserang pentaksub atau ditahan pihak berkuasa agama di salah satu pusat pemulihan agama di negara ini.

Minggu lalu, Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menggemparkan media dalam dan luar negara apabila beluau berkata ateis harus “diburu”. Beliau mendakwa mereka mencabul Perlembagaan Persekutuan.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dilaporkan berkata Islam memperuntukkan hukuman mati terhadap orang Islam yang meninggalkan agama untuk fahaman ateisme, jika mereka “keras kepala” dan enggan bertaubat.

Channel News Asia sebelum ini memetik seorang Islam yang mengamalkan ateisme sebagai berkata: “Saya bimbang. Saya sudah menerima sesuatu mungkin berlaku kepada saya…saya mungkin dibunuh.

“Saya katakan ini kerana saya melihat bagaimana melampaunya sesetengah orang, bagaimana kawan-kawan Facebook (boleh) menjadi ancaman kepada saya dengan komen mengatakan halal (dibenarkan) membunuh ateis, murtad…bagaimana teringinnya mereka membunuh supaya dapat ganjaran di syurga.”