Suhakam: Pembela hak asasi manusia tidak lindungi penjenayah

razali-ismail-suhakam-6

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengutarakan takrif pembela hak asasi manusia, 2 hari selepas timbalan perdana menteri menggelar mereka “musang berbulu ayam yang melindungi penjenayah”.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata individu seperti itu adalah orang yang berusaha ke arah merealisasikan hak dan kebebasan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan instrumen hak asasi manusia lain secara aman.

“Usaha pembela hak asasi manusia menyumbang kepada perubahan positif masyarakat dan memainkan peranan penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Mereka tidak boleh dikatakan mempertahankan sindiket jenayah dan penjenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Selasa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar pihak yang membantah pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, berkata mereka yang mempertahankan hak asasi manusia paling kuat menentang pindaan itu.

“Kami tahu pindaan itu akan dimanipulasi oleh orang yang dikatakan sebagai pembela hak asasi manusia.

“Tetapi mereka sebenarnya musang berbulu ayam yang melindungi penjenayah,” katanya.

Razali berkata polis boleh mencontohi usaha pembela hak asasi manusia kerana ia akan menyumbang kepada promosi dan perlindungan hak asasi manusia.

Beliau menambah pembela hak asasi manusia memainkan peranan asas dalam menjamin dan memelihara demokrasi dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.