Kurang 2 minggu, mana bendera sambut Merdeka 60 tahun?

Khoo-Kay-Kim-benderaKUALA LUMPUR: Kurang 2 minggu Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60, tetapi semangat dan suasana sambutan itu langsung tidak dirasai melalui kibaran Jalur Gemilang, menurut tinjauan FMT.

Hampir kesemua bangunan di ibu negara juga tidak mengibarkan bendera, berbeza dengan keadaan 2 dekad lalu apabila bendera Malaysia membanjiri seluruh pelusuk negara sama ada kampung atau bandar.

bangunan
Tiada Jalur Gemilang kelihatan di hampir semua bangunan di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Bagi sejarawan Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, ia menandakan rakyat Malaysia terutama generasi Y semakin “buta sejarah”, sesuatu yang disebabkan mereka tidak terdedah secara langsung dengan sejarah perjuangan menentang penjajah.

“Mereka tidak faham apa itu kemerdekaan, golongan muda terutamanya, mereka tidak terdedah kepada apa yang sudah berlaku,” katanya kepada FMT.

“Kalau tanya mereka maksud negara bangsa, mereka tidak tahu, apa maksud perlembagaan mereka tidak tahu.

lebuhraya
Berbeza daripada suasana 2 dekad lalu, kenderaan persendirian juga tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kalau sebut apa berlaku sebelum 1957, mereka tidak faham,” katanya.

Khoo berkata bagi ramai rakyat Malaysia, 31 Ogos hanyalah cuti umum.

Tetapi beliau tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas generasi muda.

Pemimpin juga gagal menunjukkan teladan dalam menunjukkan semangat kemerdekaan.

Pemimpin politik kerajaan dan pembangkang hanya mengutamakan wang dan kepentingan diri, kata Khoo.

“Menteri, ahli politik, baik dari kerajaan atau pembangkang, mereka hanya menjaga kepentingan diri sendiri. Mereka sendiri pun tidak faham erti kemerdekaan dan tidak menunjukkan contoh yang baik.”

Khoo berkata sukatan pelajaran melibatkan soal negara bangsa perlu diolah semula supaya kemerdekaan dipelajari mengikut kesesuaian masa kini.

“Kita sepatutnya mendidik golongan muda dan ia perlu bermula di sekolah, tapi sekarang ini saya tidak tahu apa mereka buat di sekolah. Adakah sukatan pelajaran di sekolah tentang negara bangsa masih ditekankan?” soalnya.

Khoo berkata ia masalah yang timbul apabila sistem pendidikan hanya mementingkan peperiksaan dan cara “mendapat A dalam mata pelajaran” tanpa pelajar betul-betul memahami subjek.

“Peperiksaan dengan pendidikan tidak sama,” tambahnya.