Umno tak hairan pendirian Dr Mahathir mahu singkir Najib, BN

Bung-Moktar_bn_600newa

PETALING JAYA: Umno tidak hairan dengan pendirian terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad yang bukan sahaja mahu menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dari jawatan perdana menteri tetapi mahu Barisan Nasional (BN) digantikan oleh Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin berkata sesiapa sahaja boleh ada cita-cita atau angan-angan untuk menumbangkan Umno dan BN tetapi “akhirnya perancangan Allah yang pasti.”

“Saya sudah dengar ungkapan seumpama ini beratus kali, manusia boleh merancang…Tun Mahathir merancang, Najib pun merancang. Akhirnya perancangan Allah juga yang pasti, kita serahkan kepada rakyat pemimpin mana yang mereka pilih.

“Sebab Umno tidak hanya bekerja apabila dekat PRU sahaja, kita kerja sebelum dan selepas PRU. Selebihnya kita tawakal dan redha dengan ketentuan Allah,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir malam tadi yang secara terbuka menyatakan sebelum ini beliau hanya mahu Najib disingkirkan dari jawatan perdana menteri tetapi kini mahu BN digantikan oleh PH dalam PRU14.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun memberitahu penyelesaian kepada semua masalah yang dihadapi rakyat pada hari ini adalah dengan menyingkirkan Najib dan kerajaan BN.

Mengulas lanjut, Bung yang juga merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, apa yang jelas beliau tetap yakin dengan kepimpinan Najib dan Umno.

“Saya masih yakin Najib dan Umno. Insya-Allah akan terus dapat mengekalkan kemenangan dalam PRU akan datang,” tegas beliau.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/19/dr-m-dulu-saya-nak-najib-disingkir-hari-ini-bn-sekali/