Arab Saudi bantu lancarkan operasi tren Prasarana

Masnizam-HishamMEKAH: Operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) yang dikendalikan Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mendapat sokongan 9,500 anggota Facilities Security Forces (FSF) Arab Saudi bagi memastikan kelancaran pergerakan jemaah haji semasa menggunakan perkhidmatan tren itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) Masnizam Hisham berkata langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif Arab Saudi dengan Prasarana dalam meningkatkan keselamatan tren berkenaan dan fasiliti berkaitan dengannya.

“Saya bersyukur kita mendapat bantuan dan sokongan Arab Saudi serta berharap dengan kehadiran anggota FSF mereka akan dapat membantu mengawal pengguna dan memastikan pergerakan tren berjalan lancar.

“Kehadiran anggota FSF beruniform tentera akan lebih dihormati oleh jemaah dan jemaah mudah mengikut arahan mereka, lebih senang mengawal jemaah yang ramai,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas sesi taklimat keselamatan operasi haji 2017 bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Makkah (MRDA) Isnin lepas.

Masnizam berkata, selain anggota FSF, operasi tren tahun ini turut dibantu 7,600 anggota biasa dan 600 kakitangan Prasarana yang akan membuat kawalan penumpang sepanjang operasi tren mulai 29 Ogos hingga 4 September ini.

Katanya, jumlah petugas yang terlibat itu adalah yang terbesar sejak Prasarana mengendalikan operasi tren haji berkenaan pada 2015, seiring dengan pertambahan kapasiti pengendalian jumlah jemaah pada tahun ini.

“Pada tahun ini dijangka 350,000 jemaah akan menggunakan perkhidmatan tren itu berbanding 310,000 jemaah bagi musim haji tahun lalu,” katanya.

Masnizam berkata, selepas ini pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Haji Arab Saudi untuk memperincikan pergerakan jemaah ke stesen MMMSL agar mereka sampai pada waktu yang ditetapkan.

“Ada 2 perkara yang diperlukan untuk memastikan operasi tren ini berjaya iaitu pergerakan tren yang cekap dan kehadiran jemaah di stesen pada waktu yang ditetapkan.

“Untuk mencapai kejayaan ini, kita harus berkerjasama dengan banyak pihak,” katanya.