SHAH ALAM: Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) sebagai tindakan terancang untuk menjejaskan imej kerajaan Selangor, kata seorang pegawai Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.
Pengarah Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Long berkata tekanan politik ke atas SRPM hanya akan mencalar persepsi dan menghakis keyakinan rakyat terhadap agensi anti-rasuah itu.
“Ia secara terang-terangan menunjukkan tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej kerajaan Selangor yang tuntas berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Meskipun kerajaan Selangor mengalu-alukan siasatan oleh SPRM berhubung laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak terhadap kerajaan negeri, SPRM dituntut supaya menyiasat secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu SPRM menyerbu pejabat MBI dan Unisel bagi menyiasat pertikaian kontrak membabitkan universiti itu dengan bekas kontraktor, Jana Niaga Sdn Bhd, dan dakwaan rasuah membabitkan RM10 juta.
Anggota SPRM dari Putrajaya berpakaian seragam memulakan serbuan pada 10.00 pagi di kampus Unisel di Seksyen 7, Shah Alam dan Bestari Jaya, Kuala Selangor; pejabat MBI di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14, Shah Alam; dan pejabat Jana Niaga di Bestari Jaya dan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Penyiasat juga dipercayai bertemu Naib Canselor Unisel Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman selama lebih 2 jam.
Yin berkata kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan siasatan SPRM, namun dalam masa yang sama mempertahankan keputusan yang dibuat kerajaan negeri berkaitan pertikaian itu.
“Tindakan kerajaan Negeri Selangor berhubung perkara ini adalah berdasarkan keputusan mahkamah, yang mana pihak yang terbabit telah bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah.
“Penyelesaian yang dimuktamadkan antara Unisel dan Jana Niaga adalah berdasarkan urus tadbir yang baik dan langsung tidak membabitkan menteri besar secara peribadi atau atas kapasiti individu yang membuat keputusan penyelesaian pertikaian berkenaan,” katanya.
MBI pada 25 Julai lepas mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwanya terbabit dalam rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga.
MBI menafikan pernah membuat bayaran RM60 juta kepada bekas kontraktor itu, dan berkata mahkamah tidak pernah memutuskan kontraktor, dan Unisel, melakukan kesalahan.
Menurut MBI, dakwaan membuat pembayaran kepada Jana Niaga, walaupun bekas kontraktor itu dikatakan mengingkari perjanjian dan gagal dalam tuntutan tunggakan bayaran, tidak benar.
Selepas MBI menyatakan terdapat proses untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran itu, pegawai khas kepada perdana menteri, Datuk Rizal Mansor mempersoalkan bila proses timbangtara dilakukan dan siapa yang terlibat.
Merujuk kepada dakwaan sebuah blog, Rizal berkata Unisel didakwa tidak bersetuju dengan terma yang dicadangkan MBI dan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga.
Bila proses timbangtara Unisel-Jana Niaga dilakukan, soal Rizal Mansor