5 faktor tarik belia sokong BN

salleh-keruak_bn_600

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggariskan 5 faktor yang menyumbang kepada perubahan trend sokongan pengundi muda yang dilihati semakin menyebelahi Barisan Nasional (BN).

Salleh berkata faktor pertama adalah anak muda kini semakin yakin dengan pemerintahan BN kerana pemimpinnya bersatu melaksanakan projek kesejahteraan rakyat, merancang masa depan negara, mampu menjamin kestabilan serta keselamatan negara.

Faktor ke-2 katanya adalah pakatan pembangkang selalu berpecah dan bekerjasama semata-mata kerana mahukan kuasa.

“Ke-3, anak muda bosan dengan isu yang dibangkitkan pihak lawan kerana ia tidak relevan berbanding isu yang dibawa BN. Isu BN mengenai kesejahteraan rakyat, pembangunan dan keselamatan negara.

“Ke-4, anak muda tidak boleh menerima politik ‘cauvinis’ yang merenggangkan keharmonian hubungan kaum berbanding dengan BN yang berusaha kuat untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatu,” katanya dalam catatan blognya hari ini.

Salleh berkata faktor ke-5 adalah anak muda tidak lagi berpegang kepada janji politik yang selalu ditaburkan pembangkang, sebaliknya menilai bagaimana parti berkenaan menangani pelbagai isu.

“Lima faktor itu mendorong pengundi muda bersama BN. Mereka yakin masa depan negara lebih terjamin jika BN terus memerintah Malaysia,” katanya.

Menurut Salleh, pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), 41.98% pengundi yang berumur antara 21 dan 40 tahun agak kritikal terhadap kerajaan BN.

Bagaimanapun, katanya perubahan trend dapat dilihat pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 apabila berlaku peningkatan sokongan pengundi muda kepada BN.

Katanya, di PRK Sungai Besar, sokongan pengundi muda Cina sebanyak 38% iaitu peningkatan 23% berbanding 15% yang dicatatkan pada PRU13, manakala sokongan pengundi muda Melayu meningkat 13% kepada 78% (65% pada PRU13).

“Hal yang sama juga berlaku di Kuala Kangsar iaitu berlaku peralihan sokongan pengundi muda sebanyak 18% kepada calon BN daripada 42% dalam PRU13 kepada 60% dalam PRK 2016,” katanya.