Bank Negara serbu 5 premis haram di 3 negeri

bnm-moneyKUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu 5 premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata, serbuan dilakukan di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan pada 17 Ogos lalu.

“Semasa serbuan, bank negara merampas dokumen, tunai serta mata wang asing dari premis DJ Travel & Tour Sdn Bhd di Lumut dan Sitiawan, Fathima Warisan Enterprise di Giant Supermarket, Senawang, dan Habeeb Textiles di Kuantan dan Muadzam Shah,” katanya.

Empat pendatang asing tanpa izin yang menjaga premis tersebut juga ditahan Jabatan Imigresen.

BNM berkata, serbuan itu antara langkah berterusan BNM membanteras kegiatan pertukaran dan kiriman wang haram dalam negara.

Mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan perkhidmatan wang seperti aktiviti pengurupan dan pengiriman wang tanpa lesen, bersalah mengikut Seksyen 4(1) MSBA dan boleh didenda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Individu yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Amla boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali jumlah atau nilai perolehan aktiviti atau instrumen menyalahi undang-undang pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

BNM menasihatkan orang ramai hanya berurusan dengan pengusaha perniagaan perkhidmatan wang berlesen yang boleh dikenal pasti menerusi logo rasmi Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) dipamerkan di kaunter.

Senarai pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen juga disediakan di www.bnm.gov.my.