KUALA LUMPUR: Tanggal 31 Ogos 1957 bukan sahaja hari negara bebas daripada penjajahan British, tetapi juga permulaan bagi Pestabola Merdeka yang mendapat sokongan rakyat berbilang bangsa pada 60 tahun lalu.
Bagaimanapun, kejohanan tahunan yang disertai beberapa negara serantau itu tidak lagi dianjurkan selepas 2013.
Mengimbau kemeriahan Pestabola Merdeka, bekas bintang bola sepak negara, Datuk Santokh Singh meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganjurkan semula kejohanan itu yang merupakan antara cara untuk pemain negara menunjukkan semangat patriotisme mereka.
“Saya tidak tahu kenapa Pestabola Merdeka tidak dianjurkan lagi. Mungkin salah FAM kerana tidak menurunkan pemain utama pada kejohanan itu yang menyebabkan negara jemputan ke kejohanan itu menurunkan pemain simpanan.
“Ini menyebabkan kejohanan itu kurang mendapat sambutan dan akhirnya tidak dianjurkan. Apapun saya saya mahu Pestabola Merdeka dikembalikan semula dan disertai semua negara Asia Tenggara.
“Jika kita lihat semasa Pestabola Merdeka dianjurkan, semua rakyat bersatu tidak kira Melayu, India atau Cina menyokong pasukan kebangsaan. Saya rindu kenangan itu,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kediamannya di Taman Air Panas, Setapak.
Pengalaman mewakili negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman
Santokh berkata, pemain bola sepak pada zaman dahulu dengan sekarang amat berbeza.
“Jika dulu kita makan, tidur, mandi sama-sama. Kalau tidur pun tempat terbuka dan begitu juga ketika makan, kita duduk sama-sama, tidak kira bangsa atau kaum pemain.
“Masa ini sangat berbeza. Mereka tidur dan makan di hotel, kadang-kadang pemain pun tidak tahu jiran bilik mereka pemain mana,” katanya yang menyanjungi kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang juga presiden FAM pada 1957.
Beliau menyifatkan perdana menteri pertama Malaysia itu sebagai pemimpin istimewa, berhati lembut dan sentiasa mendengar keluhan pemain.
“Jika pemain nak jumpa terus dengan presiden FAM ketika itu tiada masalah, beliau sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab untuk semua kaum,” katanya.
Harapan untuk presiden FAM sekarang
Santokh berkata, cabaran yang dihadapi kepimpinan FAM di bawah pimpinan Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sangat berbeza dengan tempoh 30 tahun selepas negara merdeka.
Ini kerana, katanya, negara kini dilengkapi pelbagai kemudahan teknologi dan infrastuktur untuk meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, katanya, pemain bola sepak zaman ini tidak sama dengan dahulu yang mementingkan semangat setia kawan dan cintakan negara.
Beliau turut menasihatkan pemain negara supaya berjuang untuk kemenangan dan memartabatkan nama Malaysia, bukannya demi wang.
“Untuk menaikkan semangat cuma ada dua, iaitu ketika menyanyikan lagu Negaraku dan lencana negara di jersi sudah cukup.
“Saya harap TMJ akan bangkit dan bangunkan FAM semula dan pasukan Malaysia akan maju dalam masa akan datang,” katanya.
Pada masa sama, beliau mencadangkan FAM memberi pas percuma kepada bekas pemain kebangsaan untuk menyaksikan sebarang perlawanan bola sepak di seluruh negara, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.
“FAM patut beri pas kepada bekas pemain kebangsaan untuk masuk ke mana-mana stadium dalam negara,” katanya.
Afiqah Farieza turut menyumbang kepada laporan ini.