Rakyat Maghribi bantah serangan seksual dalam bas

morocoCASABLANCA: Ratusan orang mengadakan bantahan di Casablanca, pada Rabu, selepas rakaman video seorang wanita yang diserang dalam sebuah bas mencetuskan kemarahan di negara Afrika Utara itu.

“Kami tidak takut! Bebaskan tempat awam!” laung peserta protes itu yang berkumpul di tengah bandar terbesar di Maghribi itu, berdekatan lokasi serangan seksual.

Enam suspek remaja ditahan Isnin lalu, selepas rakaman video itu tersebar di internet menunjukkan kumpulan remaja tidak berbaju itu menyerang seorang wanita yang sedang menangis. Mereka ketawa sambil menyentuh bahagian sulit wanita itu.

“Tiada siapa boleh mengabaikannya…Ini membimbangkan kami semua,” kata pelakon dan pengarah teater, Fatym Layachi dalam kalangan 300 penunjuk perasaan itu.

“Kebetulan serangan itu dirakam dan kami mendapat tahu mengenainya. Saya tidak boleh bayangkan berapa banyak kejadian sama berlaku setiap hari dalam bas atau mana-mana tempat awam. Ini perlu dihentikan.”

moroccorapeOum yang merupakan penyanyi terkenal Maghribi berkata: “Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa itu…Saya di sini untuk menekankan kita harus mendidik anak kita dengan lebih baik.”

Mohammad, seorang eksekutif pengiklanan berumur 30-an berkata, kejadian seperti itu biasa berlaku di Maghribi.

“Malangnya, kita tidak banyak membincangkannya,” katanya.

Media tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai “Serangan ngeri di Casablanca” dan melaporkan Maghribi yang berbelah bagi antara kemodenan dan konservatisme, berdepan “krisis keruntuhan nilai”.

Kejadian terbaru itu berlaku kurang 2 minggu, selepas perkongsian video sekumpulan lelaki mengekori seorang wanita yang berjalan bersendirian di bandar Tangier, menerusi laman sosial mencetuskan perdebatan hangat.

Maghribi memperjuangkan Islam versi toleran dan tidak mewajibkan pemakaian tudung, tetapi wanita sering menjadi sasaran penghinaan dan serangan seksis lain di tempat awam.

Statistik rasmi menunjukkan hampir dua pertiga wanita Maghribi pernah menjadi mangsa serangan ganas, sebahagian besarnya di tempat awam.