Bekas pengarah FIC Noor Ehsanuddin letak jawatan pengarah FGV

Noor-Ehsanuddin-Mohd-Harun-Narrashid-fgv-felda-letak-jawatan-malaysiaPETALING JAYA: Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid meletak jawatan sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), ketika siasatan masih dijalankan ke atas pembelian sebuah hotel mewah di London oleh anak syarikat Felda itu.

Menurut laporan The Edge, Ehsanuddin melepaskan jawatannya atas “alasan profesional dan peribadi”.

Bulan lalu, Ehsanuddin yang dilantik ke lembaga pengarah FGV pada 2013, menyuarakan hasrat melepaskan jawatan itu, tetapi beliau tidak berbuat demikian selepas pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob sendiri meminta semua ahli lembaga pengarah dikekalkan.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu ialah bekas pengarah Felda Investment Corporation (FIC), yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas pembelian Hotel Grand Plaza Kensington di London.

FIC didakwa mengambil alih hotel bertaraf 4 bintang itu pada 16 Disember 2014, pada harga lebih tinggi daripada pasaran sehingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian berjuta ringgit.

Pada 9 Ogos lalu, Ehsanuddin disoal siasat SPRM atas peranannya sebagai seorang daripada 3 pengarah FIC ketika pembelian hotel itu.

Dua lagi pengarah yang tidak lagi berada dalam syarikat itu ialah Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan Datuk Dr Omar Salim. Omar menyuarakan hasrat meletak jawatan bersama Ehsanuddin, bulan lalu.

Selain Hotel Grand Plaza Kensington, 2 hotel lain yang turut disiasat SPRM ialah Hotel & Suites Merdeka Palace bertaraf 5 bintang di Kuching dan Hotel Grand Borneo bertaraf 3 bintang di Kota Kinabalu.

Seperti hotel di London, 2 lagi hotel di Sabah dan Sarawak itu juga dipercayai dibeli pada harga lebih tinggi daripada nilai asal.

Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad ditahan SPRM pada 15 Ogos lalu berkaitan pembelian hotel itu.

Dia dibebaskan pada 20 Ogos lalu, selepas direman 5 hari. Peguamnya, Datuk K Kumaraendran berkata, Isa mungkin dipanggil semula sebagai saksi, jika ada pihak yang didakwa dalam kes itu.

Katanya, Isa dipanggil SPRM untuk membantu siasatan, bukannya sebagai suspek.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/08/20/isa-samad-bebas-sprm-tidak-mohon-lanjut-tahanan-reman/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/10/hotel-felda-3-pengarah-dipanggil-sprm-bantu-siasatan/