Notis usir: Azmin setuju jumpa pemilik restoran di Klang

G-Manivannan

KLANG: Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata, kerajaan Selangor bersetuju menemui pemilik restoran Berkeley’s Corner untuk menyelesaikan isu berkaitan notis pengusiran yang dikeluarkan Pejabat Tanah negeri.

Pagi tadi, Pejabat Tanah Klang bersetuju memberi penangguhan 2 minggu daripada sebarang tindakan merobohkan bangunan yang menempatkan restoran itu di Persiaran Rajawali, Taman Berkeley, sementara menunggu perbicaraan mahkamah dan perbincangan kerajaan negeri dengan pemilik restoran.

“Perbincangan antara pemilik restoran dan kerajaan negeri akan diadakan, saya pasti ini akan membuahkan hasil,” kata Manivannan sambil menambah cubaan pihak berkuasa hari ini adalah yang ke-3 untuk merobohkan restoran itu.

Katanya, beliau berharap ini adalah cubaan terakhir pihak berkuasa kerana Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Adun Sri Andalas, Xavier Jayakumar turut menyertai perjuangan itu. Manivannan dan Xavier daripada PKR, manakala Santiago daripada DAP.

Sementara itu, Santiago berkata, Datuk Seri Azmin Ali bersetuju berbincang dengan pemilik restoran terbabit, selepas beliau menghubungi menteri besar Selangor itu.

“Adalah penting untuk ditegaskan pada tahap ini, notis pengusiran belum ditarik balik, ia hanya ditangguhkan. Kita akan lihat apa yang berlaku selepas mesyuarat dalam masa 2 minggu,” katanya.

Bagaimanapun, Xavier berkata, perbincangan dengan kerajaan negeri hanya boleh diadakan selepas mahkamah membuat keputusan. Mahkamah dijadualkan mendengar rayuan perintah injunksi itu, esok.

Awal pagi tadi, kekecohan tercetus selepas pelanggan dan penyokong restoran popular itu, termasuk pelbagai ketua dan ahli NGO masyarakat India cuba menghalang pihak berkuasa merampas perabot dalam premis terbabit.

Pemilik restoran itu, Muthusamy Thirumeni yang juga presiden Persatuan Pengusaha Restoran Malaysia (Primas) memberitahu FMT, lesen pendudukan sementara (TOL) restoran itu dalam proses pembaharuan pada 2007.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tiba-tiba memutuskan tidak menyambung pembaharuannya pada 2014, selepas Wisma 99 Speedmart setinggi 12 tingkat yang terletak beberapa meter di depan restoran itu, siap dibina.

Beliau kemudiannya meminta penjelasan pejabat tanah berhubung alasan menolak permohonan memperbaharui TOL itu, namun tidak mendapat sebarang respons.

Pada September 2014, rancangan perobohan restoran itu dibatalkan selepas campur tangan Manivannan dan Setiausaha Pemuda MIC, Arvind Krishnan.

Selepas keadaan kembali tenang, Muthusamy berkata, beliau terharu dengan sokongan ditunjukkan rakan, keluarga serta Manivannan, Santiago dan Xavier.

“Inilah ahli Parlimen yang kita mahu. Mereka yang tidak bersikap berat sebelah dan menyokong orang awam,” katanya merujuk 3 ahli politik PKR dan DAP itu yang menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.

Kecoh di Klang selepas orang ramai halang roboh restoran