Peneroka Gatco bersorak mahkamah sekat syarikat bangunkan tanah

gatco-settler-release-malaysia-1

KUALA LUMPUR: Peneroka Gatco di Negeri Sembilan berjaya menghalang Thamarai Holdings Sdn Bhd daripada terus membangunkan tanah mereka, sementara menunggu rayuan terhadap tuntutan mereka ke atas syarikat itu bulan depan.

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan peneroka itu mendapatkan penggantungan interim terhadap keputusan mahkamah pada Oktober 2016 yang memihak kepada syarikat itu berdasarkan 2 soalan perundangan.

Kedua-dua soalan itu menumpukan kepercayaan konstruktif antara syarikat terbabit dengan penduduk kampung itu serta status mereka untuk memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan.

Peguam, R Kengadharan yang mewakili 140 peneroka dalam tuntutan tanah dipertikaikan itu, memaklumkan penduduk kampung terbabit selepas mendapat keputusan daripada Hakim Datuk Hue Siew Kheng.

Mereka kemudiannya bersorak di galeri awam mahkamah.

Kengadharan memberitahu wartawan, Thamarai Holdings tidak boleh memasuki kampung mereka dan menebang pokok getah untuk tujuan pembangunan disebabkan arahan penangguhan interim selama 60 hari itu.

“Jika syarikat itu terus memasuki kampung mereka, penduduk kampung tidak akan teragak-agak memulakan prosiding penghinaan terhadap mereka.”

Katanya, rayuan peneroka itu akan didengar pada 15 September ini di Mahkamah Rayuan.

Peneroka gatco mula mengambil tindakan undang-undang pada 2013 apabila mereka menyaman 2 penyelesai – K Jayapalasingam dan Yong Yoon Shing, serta Thamarai Holdings berhubung pertikaian tanah itu.

Tanah itu dipajak pada 1977 oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC) kepada Gatco.

Tanah itu diubah Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang memiliki syarikat Great Alonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) kepada skim tanah untuk ahlinya, di mana masing-masing membayar RM7,600 sebagai deposit sebelum bekerja di tanah itu.

Skim itu bagaimanapun gagal dan Gatco terpaksa membuat pinjaman daripada 2 syarikat kewangan.

Gatco diisytiharkan muflis pada 1996 dan Thamarai membeli tanah itu pada 2006, selepas menjalani proses penyelesaian, tindakan yang kemudian dicabar peneroka.

Percubaan peneroka ditolak Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan ketika menyemak semula keputusan itu pada 2014, mengarahkan tuntutan mahkamah itu dibicarakan semula. Keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Thamarai.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya pada Oktober 2016 memihak kepada peneroka Gatco dalam 8 soalan perundangan yang dikemukakan, dengan 2 lagi soalan perundangan memihak kepada penyelesai dan syarikat itu.

Pada Julai 18 lalu, 28 peneroka ditahan polis atas cubaan menghalang Thamarai menebang pokok getah di kampung mereka.

Mereka turut membuat sekatan bagi menyekat syarikat itu memasuki kampung mereka.

Kumpulan 28 peneroka itu kemudiannya dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 20 Julai lalu, selepas mereka memohon semakan terhadap perintah reman 3 hari yang dikeluarkan majistret, bermula 19 Julai lalu.

Pada 24 Julai lalu, 30 peneroka lain ditangkap polis kerana menghalang beberapa lori Thamarai daripada mengangkut kayu getah dari kampung itu. Mereka dibebaskan pada hari sama.

Ahad lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berkata, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat aduan peneroka berhubung isu penjualan tanah ladang itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, jawatankuasa itu akan meneliti semua dokumen yang disertakan dalam aduan Badan Bertindak Peneroka Gatco, namun ia akan mengambil masa memandangkan perkara itu berlaku 40 tahun lalu.

“…jika ada asas, (SPRM) akan ambil tindakan seterusnya untuk memastikan hak rakyat dan penduduk Gatco terbela,” katanya selepas bertemu dan mendengar sendiri keluhan penduduk kampung itu, semalam.

Rabu lepas, peneroka membuat laporan kepada SPRM atas dakwaan kemungkinan wujud unsur rasuah dalam perjanjian jual beli antara Thamarai dan 2 penyelesai itu.

SPRM tubuh panel khas siasat isu Ladang Gatco

Syarikat tuntut gantirugi daripada peneroka ladang getah

Mahkamah tolak reman, 28 peneroka Gatco bebas