KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak saman pemula difailkan 5 aktivis pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) untuk mengisytiharkan kedua-dua universiti itu melanggar hak mereka menyertai perhimpunan awam.
Hakim S Nantha Balan memutuskan Seksyen 15(3) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta peraturan universiti itu sendiri tidak melanggar hak perlembagaan pelajar.
Seksyen 15(3) menyatakan pelajar universiti dilarang menunjukkan simpati atau sokongan kepada mana-mana kumpulan.
“Mahkamah tidak yakin peraturan universiti itu boleh ditafsirkan sebagai melanggar hak mereka,” katanya sambil menambah Seksyen 15(3) dan peraturan itu boleh dibaca bersama Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kebebasan bersuara dan berhimpun.
Bagaimanapun, Nantha berkata, tiada peruntukan di bawah Seksyen 15(3) yang melarang hak pelajar berhimpun.
Hakim tidak memerintahkan pembayaran sebarang kos.
Empat pelajar UM, Anis Syafiqah Md Yusof, Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli digantung pengajian 1 semester serta denda RM400 oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UM, manakala Suhail didenda RM400.
Asheeq Ali Sethi Alivi yang juga mahasiswa jurusan undang-undang UKM pula digantung penggajian 1 semester dan denda RM200.
Mereka didapati melakukan kesalahan disiplin kerana menyertai perhimpunan #TangkapMO1 di Dataran Merdeka, pada 27 Ogos 2016, bagi mendesak kerajaan mengenal pasti dan menahan individu dinamakan “Malaysian Official One” dalam tuntutan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.
Susulan itu, 4 pelajar UM itu memfailkan saman pemula atas dakwaan tindakan disiplin yang dikenakan ke atas mereka bertentangan Perlembagaan Persekutuan, pada 27 Disember lalu.
Asheeq mengikut jejak mereka dengan memfailkan permohonan sama selepas UKM menggantung pengajiannya kerana menyertai perhimpunan itu, pada Mac lalu.
Bercakap kepada wartawan selepas keputusan itu, Asheeq berkata, mereka berlima akan mengemukakan rayuan.
“Walaupun keputusan ini tidak berpihak kepada kami, ini tidak bermakna kami akan berputus asa.”
Katanya, beliau akan berjuang untuk pemansuhan AUKU dalam usaha mengembalikan hak bebas bersuara di kalangan pelajar universiti.
Sementara itu, peguam yang mewakili kumpulan pelajar terbabit, Surendra Ananth berkata, keputusan itu bermakna pelajar boleh dikenakan tindakan disiplin kerana menyertai perhimpunan.