Juara dunia Azizulhasni sumbang emas ke-111 Malaysia

azizulhasni-awang

KUALA LUMPUR: Biarpun Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bakal melabuhkan tirai pada Rabu ini, tuan rumah Malaysia berjaya mencapai sasaran 111 pingat emas yang ditetapkan untuk temasya edisi ke-29 itu.

Juara dunia, Mohd Azizulhasni Awang menyumbang pingat emas ke-111 itu selepas menewaskan rakan sepasukan, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut final di Veldrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Detik perkiraan angka 111 bermula semalam selepas skuad gimrama meraih pingat emas ke-100 menerusi Amy Kwan Dict Weng dalam acara riben dan kutipan pingat meningkat menerusi acara gimrama, terjun, silat, skuasy dan hoki sebelum skuad berbasikal negara menghadiahkan emas ke-109, 110 dan 111.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memilih Twitter untuk berkongsi berita gembira apabila beliau tweet “Mission accomplished. #111 done. #KitaJuara” menunjukkan Malaysia muncul juara keseluruhan.

Bagaimanapun, Khairy yang juga pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (Masoc) berkata, perjuangan belum berakhir kerana Malaysia sudah membayangkan untuk melepasi 111 emas serta mencipta rekod tersendiri pencapaian emas dalam sejarah temasya dwitahunan itu yang diperkenalkan pada 1959.

Pencapaian 111 emas setakat ini menyamai pencapaian sama ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi ke-21 pada 2001.