Sukan SEA: Jin Wei tamat kemarau 14 tahun, raih emas tunggal badminton

Goh-Jin-WeiKUALA LUMPUR: Kesungguhan pemain muda badminton negara, Goh Jin Wei untuk menghadiahkan kilauan emas kepada Malaysia sempena hari kemerdekaan ke-60 harus diberi penghormatan, walaupun baru sahaja pulih daripada kecederaan buku lali sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula.

Jin Wei yang berada di ranking ke-28 dunia, pada awalnya tidak menjangka akan menyertai edisi kali ini selepas mengalami kecederaan 2 minggu sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai pada 19 Ogos, sekali gus mara ke final dan merangkul pingat emas.

Juara remaja dunia 2015 itu gembira dengan prestasinya yang memperbaiki pencapaian di Singapura meraih pingat gangsa, 2 tahun lepas.

“Saya hadiahkan pingat emas ini kepada penyokong dan semua rakyat Malaysia yang tidak pernah putus asa memberikan sokongan kepada pasukan Malaysia sepanjang Sukan SEA ini.

“Pagi tadi agak tegang kerana saya mahu sangat menang pingat emas. Perlawanan tadi memang agak sengit walaupun dilihat dengan mata kasar agak mudah,” kata gadis berusia 17 tahun ini yang menang ke atas rakan senegara, Soniia Cheah, 24, 21-11, 21-10 di Arena Axiata, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian 14 tahun tanpa pingat emas perseorangan wanita yang kali terakhir diraih pada 2003 di Vietnam melalui Wong Mew Choo.

Mengulas lanjut, Jin Wei berkata jika dilihat pada ranking dunianya kini, beliau masih perlu bekerja keras untuk berada setanding dengan legenda perseorangan wanita itu.