Bekas timbalan gabenor: Anwar arah ‘selesaikan’ kerugian forex

Lin-See-Yan-3

PUTRAJAYA: Bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Lin See Yan memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian BNM yang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beliau “menyelesaikan” kerugian bank pusat itu dalam urus niaga mata wang asing (forex) pada awal 1990-an.

“Jika ingatan saya berfungsi dengan baik, saya dipanggil Anwar selepas saya bercakap dengan Tan Sri Jaafar Hussein (Gabenor BNM ketika itu dan selepas beliau memaklumkan saya yang beliau sudah membincangkan kerugian itu dengan menteri kewangan).

“Bagaimanapun, saya tidak dapat ingat dengan tepat tarikh saya berbincang dengan menteri.

“Anwar paling tidak berpuas hati dengan kerugian itu, dan bersetuju dengan saya apa jua kedudukan terbuka yang masih ada, harus ditutup secepat mungkin,” katanya semasa memberi keterangan dalam prosiding ke-4 RCI di Istana Kehakiman, hari ini.

Lin berkata, Anwar dan Jaafar yang tahu mengenai kerugian itu bagaimanapun tidak mengarahkan beliau memaklumkan hal berkenaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada bila-bila masa, saya tidak diminta untuk membincangkan kerugian forex yang ditanggung Bank Negara Malaysia dengan perdana menteri.

“Saya tidak tahu sama ada orang lain memberitahu perdana menteri mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung Bank Negara Malaysia,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, bekas penolong gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid dilaporkan berkata, beliau diarah tidak mendedahkan kerugian AS$170 juta yang dialami bank pusat itu akibat perdagangan forex pada awal 1990-an, bagi mengelakkan Anwar hilang jawatannya.

Katanya, arahan itu diterimanya selepas beliau memaklumkan Anwar mengenai kerugian itu.

Anwar kemudiannya menafikan beliau pernah memberi arahan itu kepada Murad dengan menyifatkan ia tuduhan palsu.

Semalam, bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara, P Kanason Pothinker memberitahu wujud “pihak atasan” mengarahkannnya tidak campur tangan, susulan kerugian yang dialami BNM.

Hari ini, bekas pembantu khas kepada Jaafar, Liew Siew Kuan yang merupakan saksi ke-11 siasatan RCI itu berkata, Jaafar terkejut setelah diberitahu BNM mengalami kerugian mencecah RM9 bilion.

RCI itu ditubuhkan khas untuk menyiasat kerugian yang berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Dr Mahathir, sementara Anwar merupakan menteri kewangan ketika itu.

RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail.

Gabenor BNM terkejut rugi RM9 bilion, kata bekas pembantu khas