Nik Abduh: Jangan salahkan PAS kerana kecewa prestasi Amanah

Nik-Mohamad-Abduh-Nik-Aziz-Lim-Kit-Siang-bendera-amanahPETALING JAYA: Pemimpin PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz hari ini menasihatkan Lim Kit Siang supaya tidak menuding jari ke arah parti Islam itu disebabkan kekecewaannya terhadap prestasi Amanah.

“Master Lim janganlah menggelabah kecewa dengan prestasi Amanah. Sendiri tanggunglah,” tulisnya dalam Facebooknya hari ini.

Beliau merujuk dakwaan penasihat DAP itu semalam yang calon PAS akan dikorbankan seperti “pengebom berani mati” demi membantu calon Umno menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Lim dalam kenyataan yang dilaporkan Malay Mail Online itu turut mendakwa PAS mengumumkan hasratnya untuk memenangi 40 kerusi Parlimen dan 5 negeri pada PRU14 bertujuan menyembunyikan niat sebenar parti Islam itu untuk membantu Umno dan BN.

“Wah, orang tua DAP tu siap kata presiden PAS guna pengebom berani mati untuk pastikan Umno BN menang.

“Huh, ayatnya…sampai ke tulang sumsum DAP sungguh. Virus demam meningitis ke apa sampai bersembur air tulang belakang dikeluarkan percuma?

“Janganlah ajar generasi baru DAP guna ayat ‘style’ dinasti kuno…Takkan itu yang Pulau Pinang nak wariskan kepada generasi esok?” soal ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Pakatan Rakyat yang ditubuhkan PAS, PKR dan DAP pada 2008, dibubarkan pada 2015 berikutan pertikaian mengenai isu hudud antara parti Islam itu dan DAP.

Pada 16 September 2015, Amanah ditubuhkan sekumpulan bekas pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan pada muktamar parti Islam itu pada tahun sama.

Amanah bersama PKR dan DAP kemudiannya menubuhkan Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat, sebelum disertai PPBM.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pada 11 Disember 2016 dilaporkan mengakui parti itu berdepan kesukaran mengukuhkan kewujudannya dalam menghadapi tentangan PAS dan Umno yang dianggap parti utama mewakili orang Melayu.

“Di Amanah, kita diserang Umno dan PAS. Kami akan mempunyai masa yang sukar untuk bertapak di negara ini,” katanya pada Konvensyen Kebangsaan Amanah akhir tahun lalu.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mendakwa rundingan pembahagian kerusi dengan PAS mendapat mandat parti, selepas timbul spekulasi parti reformasi itu cuba mengadakan perjanjian berasingan dengan parti Islam itu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada PRU14.

Bagaimanapun, 4 parti komponen itu menerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Isnin lalu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada PRU14.