Pakatan Harapan umum barisan ketua negeri

pakatan-harapan-1PETALING JAYA: Pakatan Harapan mengumumkan barisan pengerusi untuk semua negeri di Malaysia hari ini.

Gabungan pembangkang itu dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan mengetuai jentera PH di Kedah, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor dan Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa di Kelantan.

Pakatan Harapan dikatakan pilihan untuk memenangi Kedah pada pilihan raya akan datang, sementara Johor dan Kelantan dikatakan bakal menjadi negeri hadapan dalam pertembungan gabungan pembangkang dengan BN dan PAS.

Seperti dijangka, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dilantik pengerusi Selangor dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilantik pengerusi Pulau Pinang.

Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen akan mengetuai gabungan pembangkang di Sarawak, Pengerusi PKR Negeri Christina Liew di Sabah, Ketua PPBM Negeri Ahmad Faizal Datuk Azumu di Perak dan Pengerusi Amanah Negeri Adly Zahari di Melaka.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Negeri Datuk Raja Kamarul Bahrin dilantik pengerusi untuk Terengganu, Pengerusi PKR Negeri Datuk Fauzi Rahman untuk Pahang, Pengerusi PKR Negeri Aminuddin Harun untuk Negeri Sembilan, Ketua PPBM Negeri Ameir Hassan untuk Perlis dan Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai untuk Wilayah Persekutuan.