RCI: Nor Yakcop arah urusniaga forex, kata bekas KSU

Tan-Sri-Nor-Mohamed-Yakcop

PUTRAJAYA: Bekas ketua setiausaha Perbendaharaan berkata lembaga pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) mengetahui urus niaga tukaran mata wang asing dilakukan atas arahan bekas pengarah urusan di BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kasim merujuk kepada wawancara bekas penolong gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid dengan media 27 Januari lalu, yang mendakwa “tiada jawatankuasa dalam BNM yang memantau transaksi Forex dan semuanya dilakukan oleh seorang individu”.

“Lembaga pengarah BNM mengetahui selepas meneliti laporan audit dalaman bahawa semua urus niaga tukaran mata wang asing dilakukan atas arahan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Saya tidak pasti sama ada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop melapor kepada mana-mana jawatankuasa dalam BNM,” kata Sheriff.

Beliau bagaimanapun akui lembaga pengarah BNM menyuarakan kekesalan mengenai ketiadaan peraturan dalam yang efektif bagi mengawalselia urus niaga forex yang dilaksanakan oleh BNM.

Beliau berkata demikian semasa dipanggil sebagai saksi ke-14 dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kerugian yang ditanggung BNM akibat urus niaga tukaran mata wang asing 1990-an.

Sheriff, yang berkhidmat sebagai KSU Perbendaharaan dari 1980 dan 1994 dan sebagai ahli lembaga pengarah BNM juga tidak bersetuju dengan dakwaan Murad mengatakan BNM “mungkin menyembunyikan maklumat tentang kerugian tersebut dengan memindahkan caj kepada akaun rezab yang lain”.

“BNM membuat tindakan ‘accounting treatment’ dengan memindahkan kepada ‘other reserves’ berdasarkan kepada persetujuan ketua audit negara,” kata Sheriff.

Sebelum itu beliau berkata, tindakan BNM membuat “penyelasaran” dalam buku akaunnya bertujuan untuk melindungi bank dan mengelak implikasi merbahaya kepada ekonomi dan ringgit.

Beliau juga berkata gabenor ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussien memberitahu lembaga pengarah mengenai “treatment of the forex losses” dalam akaun BNM, dan cara yang hendak digunakan telah dipersetujui oleh ketua audit negara ketika itu, Tan Sri Ishak Tadin.

“Pada pengamatan saya, tindakan BNM membuat penyelarasan dalam buku akaun BNM, iaitu melibatkan akaun untung & rugi dan pengurusan rezab, itu bukan merupakan sebagai satu ‘cover up’.”

Beliau juga berkata, pada pengamatannya, urus niaga forex yang dilaksanakan BNM pada ketika itu “adalah dagangan bagi tujuan untuk pengurusan rezab dan bukan semata-mata dagangan bagi tujuan mencari keuntungan”.

Prosiding hari ini merupakan sesi keempat RCI bagi menyiasat kes kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

Kerugian itu berlaku di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan menteri kewangan ketika itu.

Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail.